MANCHESTER – Pengurus pasukan Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer tidak lagi boleh mengambil risiko dengan menurunkan tonggak pertahanan yang juga kapten pasukan, Harry Maguire pada aksi bertemu Newcastle United di Stadium St. James Park awal pagi esok.
Nasihat itu diluahkan oleh bekas pemain legenda United, Rio Ferdinand memandangkan Maguire masih lagi belum dapat menenangkan fikirannya dengan masalah di dalam dan di luar padang sehingga dilayangkan kad merah ketika mewakili pasukan England yang tewas kepada Denmark sebelum.
Kata Ferdinand, Maguire perlu diberikan masa rehat yang mencukupi agar dapat kembali berada di prestasi yang sebenar dan Solskjaer harus mempertimbangkan perkara tersebut kerana ia adalah keputusan terbaik buat kedua-dua belah pihak.
“Saya tidak terkejut dengan kritikan yang Maguire terima ketika ini kerana saya juga bekas pemain pertahanan dan pernah berdepan situasi yang sama. Cara penyelesaiannya adalah mudah kerana anda hanya perlu mendapat rehat yang cukup dan kembali kepada asas.
“Namun, keputusan itu bergantung kepada Solskjaer tetapi saya harap dia tidak akan diturunkan dalam masa terdekat bagi memulihkan kembali tahap keyakinan yang hilang ketika ini.
“Kita semua akui Maguire adalah pemain pertahanan yang berkualiti tetapi mungkin disebabkan tekanan di dalam dan di luar padang telah menyebabkan prestasinya merudum teruk awal musim ini dengan melakukan kesilapan mudah,” kata Ferdinand.
Skuad The Red Devils berharap dapat kembali ke momentum kemenangan selepas tewas memalukan 1-6 kepada Tottenham Hotspur dalam aksi EPL di Stadium Old Trafford awal bulan ini. – AGENSI