LIVERPOOL – Pengurus pasukan Everton, Carlo Ancelotti mengakui cukup teruja untuk membuat perhitungan dengan juara bertahan Liga Perdana Inggeris (EPL), Liverpool yang dianggap sebagai aksi buku bertemu ruas di Stadium Goodison Park malam ini.
Sebagai rekod, Everton kini berada dalam prestasi terbaik selepas mendahului carta liga dengan kemenangan bersih dalam empat perlawanan selain tujuh kemenangan berturut-turut dalam semua kejohanan.
Namun, Ancelotti memberi amaran buat pasukannya supaya tidak mendabik dada memandangkan mereka sudah hampir 10 tahun tidak merekodkan kemenangan ke atas skuad The Reds dalam saingan EPL.
Kata Ancelotti, barisan pemain perlu memberikan fokus sepanjang 90 minit perlawanan dan elak daripada beraksi dalam tekanan sehingga memudahkan pasukan pelawat menguasai saingan.
“Saya rasa pasukan perlu berada dalam tahap terbaik untuk mengharungi perlawanan getir menentang Liverpool. Walaupun kita mendahului saingan liga ketika ini, pemain perlu bermain tanpa tekanan kerana ia hanya memberikan tiga mata.
“Bagaimanapun, setiap perlawanan adalah penting tetapi pertemuan dengan Liverpool adalah berbeza kerana inilah derbi musuh tradisi yang pasti memberikan keterujaan buat penyokong kami.
“Justeru, saya mahu pemain tampil yakin kerana pasukan memiliki kualiti tersendiri dan begitu juga Liverpool. Namun, tidak wajar untuk terlalu menghormati mereka tetapi menjadikan pencapaian yang mereka raih sebelum ini sebagai motivasi untuk menang,” katanya. – AGENSI