fbpx

K2

Membina bandar mesra kanak-kanak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kanak-kanak di negara ini perlu diterapkan dengan kemahiran melintas jalan bagi mengatasi masalah kemalangan membabitkan golongan tersebut. – Gambar hiasan

KEHIDUPAN sebagai seorang ibu di Utsunomiya, Jepun telah mengajar saya maksud sebenar sebuah bandar yang selamat dan mesra kepada kanak-kanak.

Bandar Utsunomiya terletak di dalam daerah Tochigi yang berada di sebelah utara kota metropolitan, Tokyo.

Sungguhpun Utsunomiya bukan sebuah bandar yang besar, infrastruktur serta fasiliti di situ adalah sama seperti yang terdapat di Tokyo.

Setiap pagi, kanak-kanak yang perlu ke sekolah akan bangun seawal pukul enam pagi.

Mereka akan tunggu di hadapan rumah untuk bersama-sama sekumpulan kanak-kanak lain dari kawasan kejiranan perumahan sama sebelum berjalan ke sekolah.

Mereka akan beratur di dalam satu barisan dengan diketuai pelajar yang paling tua sambil diikuti pelajar lain.

Perjalanan kanak-kanak ini adalah di dalam kumpulan yang kecil. Kemudiannya, mereka akan bergabung menjadi satu kumpulan besar apabila tiba berhampiran kawasan sekolah.

Rata-rata kanak-kanak yang bersekolah di kawasan tersebut tinggal lebih kurang 500 meter sehingga satu kilometer sahaja dari sekolah.

Terdapat kanak-kanak yang masih dihantar oleh kenderaan ibu bapa jika terlewat atau lokasi rumah terlalu jauh dari sekolah, namun bilangannya tidak begitu ramai.

Tidak kira musim salji, panas atau hujan, anak-anak ini akan tetap menunggu di hadapan rumah untuk berjalan bersama-sama mengikut masa yang telah ditetapkan oleh pihak sekolah dan unit di bawah pihak berkuasa tempatan.

Pemilihan jalan dan kumpulan pula adalah berdasarkan lokasi sekolah serta laluan pejalan kaki yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan dan sekolah.

Di setiap persimpangan, guru sekolah atau wakil ibu bapa akan mengambil giliran untuk membantu mengawasi anak-anak melintas jalan raya terutamanya di simpang yang sibuk.

Sistem pengawasan dan jadual telah diedarkan kepada setiap ibu bapa dan guru pada awal tahun persekolahan bagi memudahkan mereka merancang jadual cuti atau kerja masing-masing.

Konsep berjalan kaki ke sekolah itu telah diadakan sejak dari awal lagi. Ia merupakan satu perancangan yang penting bagi sekolah dan pihak berkuasa tempatan.

Perancangan ini bagi mengelakkan kesesakan jalan raya pada waktu pagi dan di hadapan sekolah seperti yang berlaku di negara ini.

Sistem yang teratur juga telah dirancang bukan sahaja disebabkan masalah dan keperluan pengurusan trafik tetapi bagi tujuan pembangunan insan serta sahsiah anak-anak.

Ia bagi melatih kanak-kanak ini dengan konsep berdikari dan menanam sifat berusaha.

Sungguhpun begitu, adakah sistem ini hanya boleh diwujudkan jika bandar tersebut adalah 100 peratus selamat?

TAMAN permainan kanak-kanak perlu dibina di lokasi yang mudah dilihat oleh orang ramai dan selamat. – Gambar hiasan

Kes kemalangan jalan raya tetap berlaku dan kisah kehilangan kanak-kanak masih kedengaran di Jepun kerana tiada satu sistem yang benar-benar sempurna di dunia ini.

Banyak yang boleh saya pelajari daripada pengalaman tinggal di Jepun dan budaya berdikari serta berjalan kaki ke sekolah ini.

Ia bukan sahaja dapat mengurangkan kesesakan tetapi membantu anak-anak di Jepun memahami konsep keselamatan apabila ketiadaan ibu bapa atau berada di luar rumah.

Amat penting untuk menerapkan kemahiran keselamatan di luar rumah dan jalan raya kepada kanak-kanak kerana ia akan mempengaruhi sikap mereka apabila dewasa kelak.

Budaya menghormati pemandu lain dan mengikut undang-undang di atas jalan raya dapat disemat dan dilatih sejak kanak-kanak lagi.

Oleh kerana tiada satu sistem yang sempurna, usaha mengekang isu kemalangan dengan pemanduan berbahaya dan kecuaian akan menjadi lebih mudah berbanding ketiadaan kemahiran langsung sejak kecil.

Kepentingan mematuhi undang-undang jalan raya akan membantu mengekang perbuatan seperti menggunakan laluan kecemasan, memandu laju dan melanggar lampu isyarat merah.

Malah, isu yang hangat diperkatakan sejak akhir-akhir ini seperti kemalangan melibatkan kanak-kanak sekolah yang melintas jalan raya dapat dielakkan.

Saya juga ingin tegaskan bahawa kemahiran melintas jalan dalam kalangan kanak-kanak di Malaysia sangat penting. Ia harus diterapkan serta diajar oleh ibu bapa, guru dan seluruhnya.

Di samping itu, bandar mesra kanak-kanak perlu mempunyai ruang khusus, bukan sahaja mengikut garis panduan perancangan tetapi mudah akses dan selamat untuk mereka bermain. Ini termasuk dari segi lokasi yang mudah dilihat oleh orang ramai.

Lokasi taman permainan juga haruslah dirancang agar tidak berada di tanah yang tiada nilai, tersorok, terlampau kecil dan hanya mementingkan keuntungan pembangunan fizikal.

Pengalaman hidup di Jepun telah membantu saya memahami konsep bandar mesra kanak-kanak. Bandar mesra kanak-kanak bermaksud sebuah bandar yang mesra dan selamat untuk orang dewasa.

Perkembangan kognitif yang sihat untuk kanak-kanak adalah penting sama ada di dalam bilik darjah atau luar bilik darjah. Anak-anak perlu mempunyai keyakinan diri untuk berasa selamat dengan persekitaran mereka.

Bandar yang benar-benar mesra kanak-kanak harus melihat keseluruhan fabrik bandar sebagai sebuah kanvas yang membolehkan mereka bergerak dengan selamat dan gembira.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI