PENGENDALI negara, Kim Pan-gon tidak mahu menjadikan keadaan padang latihan yang kurang sempurna di Yangon sebagai alasan untuk gagal meraih tiga mata pada perlawanan pertama Kumpulan B menentang Myanmar di Stadium Thuwunna petang ini.
Sebaliknya jurulatih dari Korea Selatan itu tetap menghormati Persatuan Bola Sepak Myanmar (MFF) dan percaya, mereka sudah berusaha untuk menyediakan kemudahan terbaik.
“Persiapan kami pun berjalan dengan baik, pemain cergas dan seluruh pasukan sudah bersedia untuk hadapi perlawanan ini. Kami hanya mahu tunjukkan prestasi terbaik dan cuba dapatkan keputusan positif buat penyokong Malaysia.
“Saya tahu beraksi di tempat lawan sentiasa sukar. Tetapi, saya tidak kisah tentang benda lepas kerana fokus adalah perlawanan, malah pemain juga tidak sabar tunjukkan aksi terbaik.
“Saya kena hormat FA Myanmar, tidak boleh ada rungutan dan kami perlu sesuaikan diri. Kami tidak boleh mengeluh kerana mereka sudah mencuba sehabis baik,” katanya pada sidang media praperlawanan, semalam.
Tiga mata di Yangon cukup penting buat Harimau Malaya bagi mendapatkan momentum sebelum hadapi Laos di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini.
Sementara itu, tonggak negara, Safawi Rasid percaya, seluruh pasukan sudah sedia maklum tanggungjawab yang sedang dipikul dan kekal positif pemain dimiliki Harimau Malaya kali ini mampu menghadirkan kejayaan.
“Kali ini bukan soal saya sahaja, tetapi semua orang mahu dapatkan piala ini. Kami begitu bersemangat dan yakin pasukan ini mampu melakukannya pada penyertaan kali ini,” katanya.