PETALING JAYA – “Sebelum meninggal dunia, dia (arwah mak) sangat manja dan ingin selalu tidur bersama.”
Itu kata pelakon Aida Aris dalam nada sebak mengesahkan bahawa ibu tersayang, Allahyarham Siti Khadijah Abu Sujak menghembuskan nafas terakhir pukul 10.40 pagi tadi di sebuah klinik swasta di Rawang, Selangor.
“Mak memang dah uzur. Dalam pukul 9.40 pagi tadi, beliau dah tak gerakkan badan dan penafasannya pun macam sudah tiada.
“Mak diberi bantuan pernafasan (CPR) sejurus sampai di klinik selama 45 minit namun sudah sampai ajalnya dan beliau tidak dapat diselamatkan. Saya reda dengan apa yang berlaku,” kata Aida atau nama sebenarnya, Siti Rohaida Mat Aris, 50 ketika dihubungi Kosmo! Online sebentar tadi.
Allahyarham Siti Khadijah meninggal dunia pada usia 84 tahun.
Kata pelakon filem Debu-Debu Kasih itu lagi, ibunya sering keluar masuk hospital namun keadaan kesihatannya stabil sehinggalah menerima berita pemergian ibu tersayangnya itu.
“Mak ada masalah paru-paru berair. Bulan September tempoh hari, beliau menerima rawatan termasuk menjalani Angiogram (rawatan untuk jantung) namun doktor maklumkan jantungnya okey dan tidak tersumbat.
“Paras oksigen di dalam badan kejap naik, kejap turun. Biasalah orang tua. Penglihatan pun dah kabur nak pergi bilik air perlu bantuan. Saya reda dengan pemergiannya semoga dipermudahkan urusanya di sana,” kata Aida.
Ketika dihubungi, Aida sedang menguruskan jenazah Allahyarham ibunya dan pengesahan kematian sedang dilakukan pihak berkuasa. – KOSMO! ONLINE