BUENOS AIRES, ARGENTINA – Bintang bola sepak, Lionel Messi berjaya ‘mengalahkan’ Cristiano Ronaldo di media sosial dengan mendapat tanda suka paling banyak bagi hantaran di laman Instagram yang dimuat naik jaguh sukan susulan kemenangan Argentina dalam perlawanan akhir Piala Dunia Qatar, malam Ahad lalu.
Menurut portal berita MailOnline, Messi memuat naik 10 gambar sebagai tanda meraikan kemenangan tersebut di Instagram.
Dalam tempoh 17 jam selepas dimuat naik, hantaran tersebut berjaya memperoleh lebih 52 juta tanda suka selain pemain penyerang itu turut melepasi 400 juta bilangan pengikut di platform media sosial berkenaan.
“Juara dunia! Saya telah lama mengimpikannya, saya amat teringin untuk memenanginya dan masih bertahan. Sukar untuk mempercayainya. Merit ini milik pasukan (Argentina) di mana semangat juang semua pemain untuk mengejar impian yang sama adalah mengatasi kekuatan individu,” katanya menerusi hantaran tersebut.
Tanda suka pada hantaran itu melepasi satu hantaran Ronaldo bulan lepas yang mendapat 41.9 juta tanda suka.
Ia merupakan iklan jenama fesyen mewah, Louis Vuitton yang memaparkan pemain pasukan Portugal itu dan Messi sedang bermain catur.
Ronaldo bagaimanapun masih merupakan individu yang paling ramai pengikut di Instagram dengan mempunyai 519 juta pengikut. – Agensi