fbpx

Piala Dunia: Kejayaan suntik semangat rakyat Argentina

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ketua pasukan Argentina, Lionel Messi bersama trofi piala dunia dan ketua jurulatih, Lionel Scaloni melambai ke arah peminat mereka selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Ezaiza, Buenos Aires dari Doha petang semalam. – AFP

BUENOS AIRES – Kejayaan Argentina menjulang Piala Dunia buat kali pertama dalam tempoh 36 tahun sejak 1986 terus menjadi fenomena apabila menarik perhatian semua orang di seluruh dunia.

Kemenangan La Albiceleste menyaksikan penantian kapten, Lionel Messi untuk melengkapkan karier gemilang menemui titik noktah, terutamanya selepas dia dikecewakan pada edisi 2014 ketika muncul naib juara.

Presiden Argentina, Alberto Fernandez berterima kasih kepada skuad kendalian Lionel Scaloni yang kembali membawa pulang trofi saingan bola sepak paling berprestij itu selepas kali terakhir dilakukan pada 1986 semasa era Diego Maradona.

Beliau berkata, kejayaan yang dilakar skuad bola sepak pada saingan Piala Dunia 2022 mampu menjadi contoh terbaik buat seluruh rakyat Argentina supaya tidak mudah mengalah dalam apa jua bidang diceburi.

“Terima kasih kepada semua pemain serta pasukan teknikal yang sudah bekerja keras sepanjang berlangsungnya saingan Piala Dunia 2022 di Qatar. Mereka sudah membanggakan seluruh rakyat Argentina.

“Pasukan bola sepak adalah contoh terbaik untuk seluruh rakyat Argentina supaya tidak mudah berputus asa. Argentina sentiasa memiliki rakyat yang hebat dan memiliki masa depan cukup cerah,” katanya.

Pada masa sama, Fernandez berharap rakyat Argentina sentiasa bersatu padu dan berbangga memandangkan pasukan bola sepak sudah bergelar juara dunia sebanyak tiga kali selepas edisi 1978 dan 1986.

“Selepas kemenangan skuad bola sepak, saya harap semua rakyat Argentina akan terus bersatu menghadapi situasi sukar ekonomi. Kita adalah juara dunia, tidak ada perkataan yang mampu menggambarkan perasaan gembira saya ketika ini,” ujar beliau.

Pada perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Lusail Ahad lalu, Argentina memastikan trofi menjadi milik mereka selepas menewaskan Perancis 4-2 menerusi penentuan sepakan penalti.

Kedua-dua pasukan terikat seri 3-3 pada 120 minit permai­nan dengan Argentina menjaringkan tiga gol hasil dua jaringan Messi dan satu gol Angel Di Maria, manakala gol Perancis hadir menerusi hatrik Kylian Mbappe. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI