ARAGON – Impian juara dunia tujuh kali, Valentino Rossi untuk memburu gelaran Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) musim ini dilihat tertutup selepas jaguh Itali itu dijangkiti wabak Covid-19 selepas disahkan positif virus pembunuh tersebut semalam.
Pelumba Yamaha Monster Energy itu bakal terlepas untuk beraksi pada perlumbaan Grand Prix (GP) Aragon pada hujung minggu ini dan kemungkinan juga untuk aksi kedua di Aragon pada GP Teruel pada 25 Oktober ini.
Pelumba Itali itu memuat naik ciapan di laman sosial peribadinya selepas mengakui tidak berasa sihat dan demam sebelum memanggil doktor untuk menjalankan pemeriksaan terhadap dirinya.
“Pagi ini saya bangun dan rasa tidak sihat. Tulang-tulang saya sakit dan saya demam, jadi saya memanggil doktor yang membuat ujian kali kedua.
“Keputusan ujian pantas PCR adalah negatif, sama seperti ujian saya jalankan pada Selasa. Tetapi, ujian kedua yang saya lakukan dan keputusannya dihantar kepada saya pada jam 4 petang hari ini (semalam), menunjukkan keputusan positif.
“Saya benar-benar kecewa kerana terlepas perlumbaan di Aragon. Saya jangka perlumbaan seterusnya nanti juga saya tidak dapat menyertainya.
“Saya sedih dan marah kerana telah melakukan yang terbaik dengan mengikuti protokol.
“Walaupun ujian yang saya lalui pada hari Selasa adalah negatif, saya mengasingkan diri sejak tiba dari Le Mans.
“Saya tidak dapat berbuat apa-apa untuk mengubah keadaan ini. Saya mengikuti nasihat perubatan dan harap saya akan cepat sembuh daripada Covid-19,” kata Rossi.
Dalam pada itu, Yamaha dalam satu kenyataan menjelaskan Rossi tidak berhubung dengan mana-mana pasukan atau kru selepas berada di rumahnya pada 11 hingga 15 oktober termasuk pelumba daripada akademi VR46, staf-staf VR46, pasukan Yamaha Monster Energy dan lain-lain
Rossi berada di tempat ke-13 carta kedudukan pelumba selepas mengumpul 58 mata dan ketinggalan 57 mata dengan pendahulu saingan, Fabio Quartararo (Petronas Yamaha SRT).
Disebabkan Covid-19, peluang Rossi untuk menjuarai MotoGP 2020 semakin tertutup. – AGENSI