PUTRAJAYA- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan ‘turun padang’ ke Pantai Timur esok bagi memantau situasi semasa banjir yang melanda negeri Kelantan dan Terengganu.
Perdana Menteri berkata, susulan itu, kerajaan juga akan menyegerakan bantuan kepada mangsa banjir terutamanya di negeri Pantai Timur melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).
“Tetapi oleh kerana perkembangan mendesak semasa seperti banjir yang telah meragut nyawa di Pantai Timur dan juga beberapa keperluan segera, maka ada pertimbangan untuk menyegerakan serta memberikan penambahan tidak daripada segi belanjawan kerana ia tertakhluk kepada bulan Mac saja.
“Bagaimanapun, penyesuaian daripada kelulusan yang ada supaya dapat diperkasakan Nadma dan peruntukan tambahan khususnya di Kelantan dan Terengganu.
“Jadi, saya bercadang segera ke sana untuk memantau dan membantu apa yang dirasakan mendesak,” katanya menerusi ciapan di Twitter tadi.
Terdahulu, Anwar berkata demikian ketika berucap di Dewan Rakyat dalam sesi Sidang Khas Parlimen yang dijalankan selama dua hari bermula semalam.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan mangsa banjir di Kelantan terus mencatatkan peningkatan apabila seramai 25,353 orang mangsa ditempatkan di 133 pusat pemindahan sementara (PPS) di sembilan daerah hari ini.
Pegawai Pengurusan Bencana dan Operasi, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kelantan, Kapten Mohd. Hanif Omar berkata, jumlah itu membabitkan sebanyak 6,897 buah keluarga yang berlindung di PPS
Menurutnya, Pasir Mas masih kekal daerah yang paling teruk terjejas apabila melibatkan seramai 5,322 mangsa diikuti Pasir Puteh (4,379 mangsa), Tumpat (4,202 mangsa) dan Kota Bharu (4,084 mangsa).
“Seramai 3,229 mangsa banjir di Kuala Krai, Tanah Merah (1,387 mangsa), Machang (1,172 mangsa), Bachok (1,158 mangsa) dan Jeli (420 mangsa).
“Daerah Gua Musang masih selamat apabila tiada mangsa banjir dicatatkan setakat ini,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini. – KOSMO! ONLINE