JELEBU – Mukim Kenaboi di daerah ini terkenal dengan beberapa tapak perkhemahan di tepi sungai yang sering dikunjungi orang ramai.
Namun sebagai langkah berjaga-jaga serta atas faktor keselamatan, kira-kira sembilan pengusaha di situ mengambil keputusan untuk menutup sementara kawasan dan kem perkhemahan mereka sehingga 31 Disember ini.
Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Chennah, Rosmadi Arif berkata, langkah berkenaan susulan cuaca yang tidak menentu ketika ini termasuk mengambil kira kejadian banjir besar yang melanda daerah ini termasuk mukim Kenaboi pada 18 dan 19 Disember tahun lalu.
Beliau yang juga mengusahakan tapak perkhemahan di situ yang dikenali sebagai Kem Bukit Perjuangan menambah, penutupan sementara itu juga adalah sebagai mematuhi saranan pihak berkuasa susulan kejadian tanah runtuh di Batang Kali, Selangor baru-baru ini.
“Di Mukim Kenaboi ini terdapat sembilan tapak perkhemahan dan sebuah kem latihan, ia sering menjadi tumpuan orang ramai dan syarikat korporat.
“Buat masa ini, kami telah mengambil langkah menutup kesemua tapak perkhemahan, bagaimanapun untuk berkhemah pada siang hari masih dibenarkan namun tidak dibenarkan bermalam atas faktor keselamatan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Menurut Rosmadi lagi, pihaknya dan anggota polis dari Balai Polis Chennah di sini sentiasa memantau pergerakan pengunjung ke kawasan itu bagi memastikan kejadian tidak diingini berlaku.
“Kami telah mengadakan perbincangan bersama Balai Polis Chennah untuk memantau tapak perkhemahan di kawasan ini terutama pada waktu malam. Kami mengadakan rondaan sehingga pukul 3 pagi. Kami khuatir ada pengunjung yang masuk ke kawasan ini tanpa kebenaran” katanya lagi.
Katanya, semua pengusaha tapak perkhemahan bersetuju untuk membuka kawasan ini kepada pengunjung pada awal tahun hadapan bergantung keadaan cuaca.
“Kawasan ini juga bersempadan dengan Pahang jadi kami perlu ambil langkah awal demi keselamatan semua. Biarlah kami rugi sedikit asalkan semua selamat, kami berharap orang ramai dapat memahami situasi ini,” katanya lagi. – KOSMO! ONLINE