SHAH ALAM – Kesedaran pembayaran zakat di Selangor dikatakan masih rendah apabila lebih 600,000 individu dan syarikat yang layak masih belum menunaikan tanggungjawab tersebut di Lembaga Zakat Selangor (LZS).
Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohd. Sabirin Mohd. Sarbini setakat ini hanya 335,000 individu termasuk syarikat yang telah melaksanakan daripada sejuta prospek pembayar zakat.
Katanya, pihaknya akan terus istiqamah meneruskan dakwah dari semasa ke semasa kepada golongan berkenaan yang masih tidak menunaikan kewajipan mereka.
“Keseluruhan yang layak membayar zakat
adalah sejuta orang namun yang melakukannya hanya 335,000 termasuk individu dan syarikat.
“Selebihnya iaitu kira-kira 600,000 individu dan syarikat yang layak tetapi tidak membayar zakat. Jadi, kita akan meneruskan dakwah agar golongan tersebut turut sama membayar zakat,” katanya selepas majlis bayaran dan agihan Zakat 2022 di Wisma Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) hari ini.
Pada program itu, sebanyak 45 buah syarikat tampil menunaikan zakat
perniagaan berjumlah keseluruhan RM11,151,204.10
Ini termasuk Bank Kerjasama Rakyat Malaysia (Bank Rakyat) berjumlah RM2,589,368, QSR Brands (M) Holdings Bhd. (RM1,737,487) Sirim Berhad (RM1,138,278.91) dan Kumpulan Semesta Sdn. Bhd. yang mengeluarkan zakat perniagaannya berjumlah RM1juta.
Dalam pada itu, Mohd. Sabirin menjelaskan lebih RM800 juta zakat telah dikutip oleh pihak LZS setakat bulan November tahun ini..
Ujarnya, pihaknya yakin sasaran RM1bilion kutipan zakat untuk tahun ini mampu dicapai.
“Masih ada sebulan sebelum tahun ini berakhir dan saya berharap sasaran kutipan RM1 bilion mampu dicapai.
“Tahun lalu, kita mendapat kutipan zakat sebanyak RM993 juta dan dengan kempen dan dakwah yang berterusan kita berharap sasaran RM 1bilion menjadi kenyataan,”katanya. -KOSMO!ONLINE