JERANTUT – Penduduk sekitar Kampung Bantal di sini gempar selepas sebatang pokok jati di tebing sungai tumbang ke atas wayar elektrik sebelum menghempap rumah rakit dan dua buah bot milik penduduk kampung.
Kejadian kira-kira pukul 3 pagi itu bukan sahaja menyaksikan rumah rakit dan dua buah bot rosak serta enjin bot hilang tetapi menyebabkan wayar elektrik terjatuh ke dalam sungai.
Seorang penduduk Mohamad Salim Badi, 59, berkata, dia mengalami kerugian kira-kira RM40,000 berikutan rakit dan dua buah bot rosak manakala dua enjin bot tenggelam ke dalam sungai.
Katanya semasa kejadian, dia yang bertugas sebagai anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) berada di rumah selepas bertugas memantau keadaan banjir yang melimpah di kawasan kampung itu.
“Saya diberitahu oleh rakan mengenai kejadian ini dan bergegas keluar ke tebing sungai sebelum mendapati pokok jati berdekatan telah tumbang dan menghempap keseluruhan rakit yang terletak di sungai ini.
“Saya tidak boleh berkata apa-apa lagi apabila mendapati rakit musnah sama sekali dan bot gentian kaca rosak, saya cuba menyelongkar di bawah batang pokok yang tumbang untuk mencari dua buah enjin bot, tetapi hampa kerana peralatan tersebut hilang kerana jatuh ke dalam sungai,”katanya.
Menurutnya dia membina rakit berbumbung itu beberapa tahun lalu sebagai tempat perhentian bot penambang selain untuk menyimpan peralatan keperluan menangkap ikan, enjin bot dan tempat berehat.
Dia berkata, kerugian akibat kejadian itu dianggarkan bernilai RM40,000 melibatkan dua buah enjin bot, bot gentian kaca termasuk perbelanjaan membina rakit tersebut.
“Saya bersyukur kerana ketika kejadian ini tidak berada di rakit ini kerana bertugas di tempat lain malahan reda dengan ujian Allah. -KOSMO! ONLINE