PUTRAJAYA – Sebanyak enam buah hospital serta 72 fasiliti kesihatan di Kelantan dan Terengganu dilaporkan terjejas teruk akibat bencana banjir yang mengakibatkan ada diantaranya tidak dapat beroperasi.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, di Kelantan, dua buah hospital yang terjejas adalah Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II di Kota Bharu dan Hospital Tengku Anis (HTA) di Pasir Puteh.
“Semua perkhidmatan di HRPZ II bagaimanapun masih beroperasi seperti biasa walaupun bangunan hospital telah dimasuki air bagaimanapun, perkhidmatan makmal, pengimejan dan diagnostik di HTA telah diberhentikan buat sementara waktu.
“Penutupan bekalan kuasa dalaman telah dilakukan bagi melindungi peralatan daripada kerosakan dan sebarang keperluan perkhidmatan tersebut akan dirujuk ke hospital berdekatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, seramai 19 pesakit dari HTA turut dipindahkan ke HRPZ II dan Hospital Universiti Sais Malaysia (HUSM) kerana dikhuatiri paras air akan meningkat pada bila-bila masa.
Menurut Dr. Noor Hisham, di Terengganu pula, hospital yang terjejas adalah Hospital Kemaman, Hospital Besut, Hospital Setiu dan Hospital Hulu Terengganu yang kini sedang dipantau secara rapi.
“Peningkatan, paras air akibat banjir telah menyebabkan limpahan air ke dalam ruang Jabatan Kecemasan dan Dewan Bersalin di Hospital Kemaman pada malam 18 Disember namun telah surut keesokan harinya.
“Peningkatan mendadak di kawasan berhampiran Hospital Besut, Hospital Setiu serta Hospital Hulu Terengganu pula telah mengakibatkan laluan ke hospital juga kawasan sekitar terputus dan hanya dapat dilalui menggunakan kenderaan air atau udara,” katanya.
Menurut beliau, kesemua hospital-hospital tersebut bagaimanapun telah bersedia untuk menghadapi bencana banjir dengan keperluan bekalan perubatan, makanan dan pakai buang yang mencukupi.
Dr. Noor Hisham berkata, sebanyak 32 fasiliti kesihatan telah terjejas akibat banjir di Kelantan melibatkan 22 klinik desa dan 10 klinik kesihatan namun tujuh fasiliti kesihatan masih beroperasi manakala 22 lagi telah pindah operasi ke fasiliti alternatif dengan tiga tidak beroperasi.
“Di Terengganu pula, 40 fasiliti kesihatan dilaporkan terjejas melibatkan 27 klinik desa, lima klinik kesihatan, empat klinik pergigian, tiga Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) dan satu unit vektor di Jabatan Kesihatan Negeri.
“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 19 fasiliti kesihatan masih beroperasi, enam dipindahkan operasi ke fasiliti kesihatan alternatif manakala 15 lagi tidak beroperasi,” jelas beliau.
Mengulas lanjut, Dr. Noor Hisham berkata, orang ramai dinasihati agar peka dengan arahan semasa pihak berkuasa dan mengambil langkah penjagaan kesihatan bagi mencegah penyakit berjangkit berkaitan banjir.-KOSMO! ONLINE