SHAH ALAM – Kerajaan Selangor menghulurkan bantuan kewangan sebanyak RM500,000 masing-masing kepada Kelantan dan Terengganu yang ketika ini dilanda musibah banjir.
Menteri Besar Selangor, Datuk Amirudin Shari berkata, kerajaan negeri bersimpati dengan nasib yang menimpa rakyat di negeri-negeri yang dilanda musibah banjir.
Katanya, berdasarkan angka dikeluarkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) menunjukkan jumalh mangsa banjir di Kelantan adalah seramai 25,353 orang dan 37,021 orang di Terengganu.
“Bagi meringankan beban atas musibah yang melanda, kerajaan negeri bersedia menghulurkan Sumbangan Bantuan Banjir #KitaSelangor 2022 berupa bantuan kewangan buat Kelantan dan Terengganu yang berhadapan musibah banjir dengan sejumlah RM 500,000 setiap negeri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelas beliau, kerajaan negeri melalui Skuad PANTAS serta Selangor Volunteer ( SERVE ) bersedia berkhidmat untuk sebarang bentuk bantuan kemanusiaan pasca banjir sebaik sahaja keadaan mengizinkan kelak.
Dalam pada itu, Amirudin menegaskan acara Sambutan Ambang Tahun Baru peringkat Selangor juga dibatalkan.
“Ini demi menghormati mangsa dan keluarga yang terkesan dengan musibah banjir dan tragedi tanah runtuh Batang Kali,” ujarnya. -KOSMO!ONLINE