Oleh MOHD. HUSNI MOHD. NOOR
PUTRAJAYA – Kelakar, kreatif dan mempunyai maksud ‘serampang dua mata’.
Itu dapat digambarkan pada kandungan yang dipaparkan beberapa laman media sosial yang mengambil kesempatan dengan menghangatkan isu-isu semasa dalam bentuk ‘troll’ atau hasut maya.
Hasut maya adalah istilah semasa terbaharu yang diberikan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) kepada maksud troll.
Laman sosial Public Health Malaysia (PHM) sebagai contoh, memuat naik kandungan grafik karikatur seorang lelaki berbadan besar sedang menaiki tangga dengan mesej ‘untuk kurus jangan panjat pagar’.
Bagaimanapun, di sebaliknya ialah mesej troll kepada kes seorang suspek Macau Scam yang melarikan diri dengan dibantu dua pengawal peribadinya selepas selesai menjalani proses jaminan.
Suspek dikatakan memanjat pagar dibantu dua pengawal peribadinya.
Troll itu mendapat pelbagai reaksi warganet yang rata-rata terhibur.
Warganet, Nor Lela berkata, “Amboi min (admin), dah pandaiiii. Macam kena dengan hal ehwal masa kini. Terbaik min.
Sementara itu, Nurul Yusoff pula berkata, “Admin sedang melakukan troll ke ni. Selalu baca serius sahaja post status admin. Kali ini baca macam ada sesuatu yang sedang hangat berlaku.
Dalam pada itu, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) juga tidak kurang hebatnya apabila memuat naik pantun empat kerat dengan dua baris pertama menceritakan soal panjat pagar.
Mohd. Hanif Zaimar di ruang komen berkata, “Pandai sungguh DBP berpantun, hasut ayat penuh santun.
Sementara itu, portal beli belah, Shopee turut tidak mahu ketinggalan apabila memuat naik kandungan gambar yang memaparkan seorang lelaki warga emas berlatar belakangkan koleksi barangan peribadi beserta mesej ‘beli di Shoppe, tak perlu berebut beli barang lelong’.
Gambar dikongsi Shopee itu mirip kepada keadaan sidang akhbar secara langsung perkembangan Covid-19 oleh Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Diaw Deawunk menerusi komennya memuji kandungan dimuat naik Shopee.
“Idea memang trendy dan ikut isu viral, memang mantap,” katanya.-K!ONLINE