MIRI – Seorang lelaki dijumpai meninggal dunia dalam keadaan tergantung pada sepohon pokok kelapa sawit di kebun milik mentuanya di Sungai Balim, Niah di sini.
Ketua Polis Daerah Miri Asisten Komisioner Alexson Naga Chabu berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian kira-kira pukul 10.11 pagi kelmarin.
Katanya, si mati adalah warga tempatan dan berusia 32 tahun.
“Pemeriksaan di tempat kejadian tidak mempunyai sebarang unsur jenayah dan barang peribadi si mati juga masih berada di dalam beg miliknya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, Alexson berkata, satu kertas siasatan di bawah mati mengejut telah dibuka bagi mengenal pasti punca kematian.
Justeru, beliau menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berkenaan kes itu kerana ia akan mengganggu siasatan.
“Individu yang mempunyai sebarang maklumat lanjut berkaitan insiden ini diminta untuk tampil ke balai polis yang berdekatan bagi menyalurkan maklumat,” katanya. – KOSMO! ONLINE