PETALING JAYA – Cuaca di Semenanjung dan Sabah serta Sarawak diramal dalam keadaan baik dan cerah ekoran tiada laporan amaran ribut petir dan hujan lebat dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) pada 7 pagi ini.
Namun Kosmo! menerusi MetMalaysia sebelum ini melaporkan, luruan monsun yang sedang berlaku dijangka akan berterusan sehingga 24 Disember.
Fenomena tersebut berpotensi membawa angin kencang, ombak besar dan hujan berterusan di negeri-negeri utara, timur Semenanjung dan timur Sabah serta angin kencang dan ombak besar di perairan Laut China Selatan.
“Susulan itu, MetMalaysia telah mengeluarkan amaran hujan berterusan yang melibatkan Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor sehingga 21 Disember ini manakala amaran angin kencang dan laut bergelora bagi perairan Laut China Selatan pula dijangka berlaku sehingga 22 Disember,” katanya. – KOSMO! ONLINE