PETALING JAYA – Angka terkini mangsa banjir mencecah 50,960 orang melibatkan lima negeri dengan bilangan paling ramai adalah di Terengganu.
Berdasarkan jumlah dilaporkan Pusat Kawalan Operasi Pusat, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) sehingga pukul 10 malam tadi, Terengganu merekodkan seramai 29,717 mangsa terdiri daripada 8,214 keluarga sekali gus menunjukkan trend peningkatan.
“Ia diikuti oleh Kelantan yang mencatatkan 20,271 mangsa melibatkan 5,603 keluarga, seterusnya Pahang dengan 865 mangsa meliputi 218 keluarga.
“Perak pula merekodkan 54 mangsa terdiri daripada 17 keluarga, manakala Johor dengan 53 mangsa daripada 17 keluarga,” katanya menerusi maklumat pada ciapan Twitter.
Secara keseluruhan, sebanyak 22 daerah terlibat banjir setakat ini, manakala sebanyak 429 pusat pemindahan telah dibuka. – KOSMO! ONLINE