HULU SELANGOR – Seorang anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) menghadapi detik cemas apabila terjerlus separuh badan di lokasi tanah runtuh, di Jalan Batang Kali-Genting Highlands, malam tadi.
Erzvicly Fazikhan, 24, berkata, walaupun faktor cuaca baik sepanjang hari, namun keadaan air yang masih bergerak di bawah tanah menyukarkan pergerakan anggota penyelamat.
“Insiden itu terjadi ketika saya sedang memotong pokok di lokasi kejadian. Saya terjerlus separuh badan ke dalam tanah sekali gus menyebabkan kecederaan di bahagian lutut kiri saya.
“Tetapi tadi saya sudah terima rawatan daripada pasukan perubatan, dan akan membuat imbasan Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) kerana dikhuatiri ligamen terkoyak,” katanya ketika ditemui Kosmo!
Terdahulu Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Suffian Abdullah berkata, kekuatan anggota dan pergerakan akan dikurangkan dalam memastikan tahap keselamatan pasukan penyelamat.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa yang berbaki sembilan orang lagi juga akan diteruskan selama 24 jam malam ini berikutan keadaan cuaca yang kelihatan baik. – KOSMO! ONLINE