fbpx

Henti sebar video tiga beradik maut direnjat elektrik – MCMC

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Orang ramai dinasihatkan agar berhenti menularkan video yang memaparkan kejadian tiga beradik maut dipercayai akibat terkena renjatan elektrik di Tumpat, Kelantan pagi tadi.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berkata, ia adalah bagi menghormati mangsa dan privasi keluarga mangsa selain memberi ruang kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan lanjut terhadap insiden tersebut.

“Pada masa sama, pihak suruhanjaya juga telah mengambil langkah proaktif mengangkat perkara ini untuk perhatian dan tindakan selanjutnya daripada penyedia platform seperti Meta, Twitter dan TikTok dalam usaha mengekang penularan video yang berkaitan.

“Orang awam digalakkan untuk sentiasa mengawal selia kendiri dan peka tentang kandungan yang mereka terima atau dikongsi secara dalam talian, sama ada melalui aplikasi Whatsapp ataupun rakaman video di media sosial,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah MCMC, bagi menghentikan penularan video seperti itu, pengguna media sosial juga digalakkan untuk membuat laporan secara terus terhadap kandungan yang sensitif dan tidak sesuai untuk tatapan umum kepada penyedia platform.

Terdahulu, Kosmo! Online hari ini melaporkan tentang tragedi menyayat hati melibatkan tiga beradik yang maut selepas dipercayai terkena renjatan elektrik semasa salah seorang daripada mereka memegang tiang pada garaj di sebuah rumah jiran mereka di Kampung Morak, Tumpat di Kelantan.

Bagaimanapun, tidak lama kemudian beberapa video memaparkan jenazah ketiga-tiga beradik itu ditularkan di laman media sosial dipercayai dirakam dan dimuat naik oleh individu yang berada di lokasi kejadian.

Penularan video berkenaan bagaimanapun menerima kecaman teruk daripada pengguna platform media sosial yang menyifatkan si pemuat naik sebagai tidak sensitif dan tidak peka dengan perasaan waris mangsa. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI