PETALING JAYA – “Tolonglah, kami benar-benar memerlukan wang itu.”
Demikian luahan ahli kumpulan muzik, Caliph Buskers merayu syarikat pengurusan acara agar melunaskan bayaran berjumlah RM10,300 untuk sebuah persembahan yang dijayakan di Pulau Pinang, baru-baru ini.
Kegagalan syarikat pengurusan tersebut menyelesaikan bayaran tertunggak diluahkan Caliph Buskers dalam Facebooknya.
Pemain drum kumpulan terbabit, Fendy Adlun menjelaskan, penganjur mulanya berjanji akan membuat pembayaran pada malam pertama mereka melakukan persembahan.
Namun, mereka terpaksa pulang kehampaan apabila pihak terbabit menangguhkan pembayaran ke hari berikutnya.
“Mereka menyediakan penginapan dan pengangkutan di Penang (Pulau Pinang) pada 9 dan 10 Disember lalu. Cumanya mereka menjanjikan pembayaran dilakukan selepas tamat persembahan pada malam pertama.
“Kami pula tidak membawa duit banyak untuk berbelanja kerana fikirkan duit akan dapat pada malam Jumaat dan boleh berjalan-jalan keesokkan harinya untuk membeli buah tangan kepada keluarga,” kata Fendy ketika dihubungi Kosmo!.
Menceritakan hal sebenar, kumpulan Caliph Busker terpaksa akur naik ke pentas untuk melakukan persembahan pada malam kedua walaupun pada awalnya kecewa tentang janji bayaran yang tidak dikotakan.
“Mula-mula mereka kata akan bayar selepas tamat persembahan pada Jumaat dan bawa ke hari Sabtu. Tetapi masih juga tidak membuat pembayaran dan merayu-rayu untuk kami naik ke pentas.
“Kami akur dan naik ke pentas dan mereka menjanjikan untuk membuat pembayaran pada pagi Ahad pula. Namun, masih tiada sampai ke hari Isnin.
“Surat yang kami muat naik dalam Facebook tersebut menyatakan akan membuat pembayaran dalam masa lima hari bekerja. Sehingga kini, tiada sebarang pembayaran dilakukan.
Pemain drum kumpulan itu juga bertindak berkongsi kontrak yang persetujui bersama dalam Facebook dan berharap isu pembayaran yang tertangguh selama 10 hari segera diselesaikan.
“Pengurus kami kerap juga bertanya kepada pihak penganjur tetapi alasannya sama sahaja. Katanya, kumpulan Lestari juga terpalit dengan isu sama.
“Sayalah yang banyak membuat rungutan dan berhasrat untuk melaporkan hal ini kepada pihak polis. Namun, ahli yang lain tidak menunjukkan reaksi yang sama dengan saya,” luahnya dalam nada kesal.
Dalam pada itu, Fendy memohon pihak penganjur membuat pembayaran secepat mungkin kerana itu sahaja mata pencarian mereka.
Malah lebih teruk, Caliph Buskers juga hilang punca pendapatan memandangkan sekarang musim hujan dan tidak mampu meneruskan aktiviti ‘busking’ seperti biasa.
“Kebetulan sekarang musim hujan. Kami tidak boleh ‘busking’ seperti biasa kerana orang kurang datang untuk melihat persembahan kami,” luahnya dalam nada kesal.
“Duit persembahan tersebut juga merupakan mata pencarian kami dan saya tidak mahu kes ini berlanjutan sehingga ke mahkamah dan hantaran dalam Facebook tersebut adalah sekadar peringatan sahaja.
“Majoriti ahli kami mempunyai keluarga dan sekarang pula cuti sekolah. Masing-masing mahu membawa anak-anak untuk bercuti tetapi terjejas kerana tiada duit,” ujarnya yang berharap isu bayaran tersebut diselesaikan dengan cara baik.- KOSMO! ONLINE