BERAMAH mesra dengan peminat sambil berjualan antara tarikan utama buat barisan selebriti yang menyertai acara jualan Car Boot Sale di DXN Cyberville, Cyberjaya yang diadakan baru-baru ini.
Bagi golongan artis dan peminat, penganjuran acara sebegitu, satu usaha yang wajar diteruskan bagi merancakkan aktiviti ekonomi dan sosial masyarakat selepas pasca pandemik Covid-19.
Penyampai radio Suria FM, DJ Lin berkata, usaha seperti itu wajar dipuji kerana banyak aktiviti tertangguh saat pandemik melanda negara.
“Kami di Suria FM juga percaya aktiviti seperti itu memberikan banyak manfaat dalam merapatkan lagi jalinan antara selebriti dan peminat khasnya.
“Malah, saya juga percaya acara sama seperti Jelajah 90 Suria FM misalnya antara faktor penyumbang kepada kejayaan kami menambah bilangan pendengar sehingga 3.5 juta pendengar seminggu,” katanya yang juga Pengurus Besar Suria FM.
DJ Lin bersama beberapa selebriti lain antaranya Lan Solo, Izreen Azminda, Faeamkmlallaklqaklakq, Syed Ali, Wanna Ali dan Pian Ali antara peniaga yang menjayakan acara Car Boot Sale tersebut.
Penyampai segmen Suria Cinta itu juga teruja kerana kali pertama menyertai acara jualan berkonsep ‘Car Boot’.
“Memang seronok sambutannya amat menggalakkan. Menerusi acara seperti ini, saya dapat melihat sendiri sokongan peminat bukan sahaja pada produk jualan saya tetapi juga terhadap Suria FM,” ujar DJ Lin.
Bagi Lan, yang juga julung kali menyertai acara jualan seumpama itu teruja diberi peluang dan menjual produk makanan dari Borneo.
Pelakon Syed Ali yang baru tiba dari Turki tetap memeriahkan acara kerana mengambil peluang untuk berjumpa peminat dan pengunjung.
“Saya memang suka turut serta acara seperti ini kerana merupakan medan terbaik mempromosikan jenama wangian jualan saya BeFresh,” katanya.
Dalam pada itu, pelakon muda Hariz Hamdan turut membuat kemunculan khas bersama produk Biore Men pada acara tersebut.
Tidak hadir tangan kosong, Hariz berjaya mengukir senyuman pada wajah peniaga menerusi pemberian produk berkenaan dalam sesi cabutan bertuah.
“Apa yang mengejutkan terdapat banyak barangan berjenama yang dijual harga sangat murah,” kongsi Hariz yang hadir bersama rakannya, pelakon Atiq Azman.
Selain jualan, persembahan daripada penyanyi Azdrin Azhar dan buskers, pertandingan mewarna dan kemunculan badut Awang The Clown turut mengisi program.
Melihat sambutan yang diterima, pengurus acara tersebut, Mellina Tajudin akan menjadikan Car Bootsale di DXN Cyberville, Cyberjaya itu sebagai acara bulanan bermula tahun depan.