DOHA – Bintang bola sepak Argentina, Lionel Messi mengalami detik janggal selepas pasukannya memenangi Piala Dunia semalam apabila dia disarungkan jubah sebelum menjulang trofi, lapor portal MailOnline.
Sepasang jubah atau bisht yang biasanya dipakai untuk majlis-majlis khas atau upacara seperti perkahwinan atau perayaan keagamaan, dipakaikan pada Messi oleh Emir Qatar, Yang Mulia Sheikh Tamim, ketika Presiden FIFA, Gianni Infantino bertepuk tangan di sebelahnya.
Bishts dipakai oleh masyarakat Arab selama beribu-ribu tahun pada majlis rasmi.
Ia disamakan dengan pemakaian tali leher hitam di Barat, yang juga datang dengan konotasi kuasa kerana sering dipakai oleh kelompok diraja, pegawai dan paderi.
Kapten Argentina itu kemudian meredakan kejanggalan dengan menjulang trofi Piala Dunia sementara bajunya dikaburkan oleh jubah hitam itu. Rakan sepasukannya hanya memakai jersi masing-masing.
Beberapa pemerhati merasakan bisht itu bertujuan sebagai alat perhubungan awam untuk rejim Qatar.
“Sebuah jubah Arab pada Messi yang menjulang trofi. Simbolik. Satu cara untuk mengecap budaya pada apa yang akan menjadi salah satu imej paling ikonik yang pernah ada,” demikian ciapan seorang netizen di Twitter.
Jarang sekali pemenang Piala Dunia diberikan pakaian tempatan semasa sambutan, tetapi pernah berlaku apabila Pele diberikan Sombrero (topi) ketika bergambar selepas kemenangannya di Mexico. – Agensi