JIKA berbicara tentang Piala Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF), tidak keterlaluan untuk mengatakan penganjurannya diibaratkan sebagai ‘Piala Dunia Asia Tenggara’ buat setiap negara di rantau ini.
Mengimbau semula sejarah Piala AFF, ia memiliki nilai tersendiri, malah setiap pasukan sentiasa mempunyai misi tersendiri dan status juara sentiasa menjadi idaman buat semua negara bertanding.
Cuma Piala AFF dianjurkan di luar kalendar Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan jika berbicara faktor ini, ceritanya mungkin agak kurang menyenangkan apabila ada pasukan yang gagal mendapatkan senarai pemain terbaik.
Situasi ini juga dihadapi Harimau Malaya apabila pengendali kebangsaan, Kim Pan Gon tidak dapat memanggil barisan terkuat ke latihan pusat.
Namun, tuah sedikit berpihak kepada Malaysia apabila pemain yang dipanggil mula beri bayangan positif ketika menang ke atas Kemboja dan Maldives pada aksi persahabatan.
Perkara pokok kepada permasalahan ini adalah sampai bila isu sedemikian dibiarkan berlarutan kerana jika tidak diatasi, tidak mustahil penganjuran Piala AFF akan mula hilang seri selain dianggap sebagai tidak penting mahu pun dilabel sebagai pertandingan kelas kedua.
Sudah tiba masanya AFF mula bergerak lebih ke hadapan untuk memastikan pertandingan ini dianjurkan dalam kalendar FIFA.
Perkara berkenaan jika berterusan ia mungkin memberi imej buruk kepada bola sepak Asia Tenggara kerana majoriti pengendali pasukan adalah jurulatih luar.
Setiausaha Agung Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Datuk Windsor Paul John ketika diminta mengulas tentang perubahan tarikh penganjuran Piala AFF menjelaskan segalanya bergantung kepada AFF untuk menentukan hala tuju pertandingan berkenaan.
“Pertama sekali, kita kena tahu dahulu kenapa mereka pilih tarikh berkenaan. Mungkin mereka ada alasan tersendiri atau pun pasukan bertanding sudah nyatakan kesediaan untuk bermain di luar jendela FIFA.
“Segalanya bergantung kepada AFF untuk menentukan tarikh pertandingan. Kita juga agak sukar untuk memberi cadangan tarikh tertentu mengikut jendela FIFA dan segalanya bergantung kepada mereka untuk tetapkan tarikh,” katanya.
Pada penyertaan kali ini, Harimau Malaya yang diletakkan dalam Kumpulan B akan membuka tirai saingan dengan menentang Myanmar, Rabu ini diikuti bertemu Laos (24 Disember), Vietnam (27 Disember) dan Singapura (3 Januari).
Selain Malaysia, isu kesukaran untuk mendapatkan pemain terbaik turut dihadapi Indonesia dan laporan media tempatan menyebut pengendali, Shin Tae-yong terpaksa terbang ke England dan Belgium untuk memujuk dua kelab diwakili pemain utamanya, Sandy Walsh dan Elkan Baggott.
Baggott kini dipinjamkan kepada Gillingham daripada Ipswich Town dan selepas meminta izin daripada dua kelab England itu, Tae-yong dikatakan menemui pasukan Belgium, KV Mechelen bagi mendapatkan khidmat Walsh.
Senario yang berlaku di Malaysia dan Indonesia ini sudah cukup untuk menjelaskan kesukaran pasukan mendapatkan senarai terbaik kerana ada kelab enggan melepaskan pemain mereka untuk tugasan bersama skuad kebangsaan di luar jendela FIFA.