TONGGAK utama skuad Harimau Malaya, Faisal Halim mengakui aksi tanpa penyokong pada perlawanan pembukaan Kumpulan B saingan Piala AFF bertemu Myanmar di Stadium Thuwanna, Yangon melonjakkan keyakinan pasukan melakar kemenangan.
Sebagai rekod, saingan pertama peringkat kumpulan di gelanggang lawan itu tidak akan dihadiri oleh penyokong setia tuan rumah ekoran konflik politik yang melanda negara tersebut.
Menurut Faisal, perkara itu sudah pasti suatu kelegaan buat barisan pemain dan dalam masa yang sama memberi kelebihan buat pasukan bagi memastikan tiga mata berharga dapat dikutip.
“Kita bermain di tempat lawan dan sudah tentu ia memberikan petanda positif apabila akan bertandang di stadium kosong tanpa kehadiran penonton kerana ia boleh mengurangkan tekanan kami.
“Saya juga pasti rakan-rakan sudah bersedia untuk mengharungi apa sahaja situasi dalam usaha memastikan keputusan positif dapat dilakar nanti,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA), Sepang semalam.
Sementara itu, Faisal enggan meletakkan jumlah jaringan yang besar buat pasukan melakar kemenangan selepas menyaksikan Myanmar tewas 0-6 kepada Thailand minggu lalu.
“Tidak kisah dengan keputusan yang penting tiga mata. Secara peribadi, jumlah gol bukanlah faktor yang penting kerana apa yang utama atasi permainan lawan dan menyerap tekanan.
“Jika melakar kemenangan, sudah pasti ia akan memberikan keyakinan tambahan buat pasukan untuk teruskan momentum pada aksi kedua nanti,” katanya.
Selepas menentang Myanmar, skuad negara akan melayan kunjungan Laos pada perlawanan di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Sabtu ini sebelum bertemu Vietnam (27 Disember) dan Singapura (3 Januari).