fbpx

‘Sudah dua minggu Mak Senah hilang’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
CHE Roshidee menunjukkan gambar ibunya yang sudah hilang sejak dua minggu lalu di Felda Sungai Kelamah, di sini.

TAMPIN – Sebuah keluarga berharap agar ibu mereka iaitu Aliah Omar, 74, atau lebih dikenali sebagai Mak Senah oleh penduduk kampung Felda Sungai Kelamah, di sini, ditemui dengan selamat selepas dua minggu hilang tanpa jejak.

Che Roshidee Che Harun, 32, yang merupakan anak bongsu Mak Senah berkata, penduduk kampung serta pasukan penyelamat sudah puas mencari ibunya di kawasan kebun di felda berkenaan, selain di jalan utama namun hampa.

Menurutnya, rutin ibunya pada setiap hari berjalan-jalan di kawasan felda berkenaan.

“Saya tinggal berhampiran dengan rumah ibu dan akan datang ke kediamannya seawal pukul 8 pagi sehingga pukul 5 petang kerana menguruskan ternakan kambing di belakang rumah,” katanya ketika ditemui di Felda Sungai Kelamah, di sini, semalam.

Menurut Che Roshidee, dia menyedari kehilangan ibunya ketika pulang untuk makan tengah hari dan melihat sarapan yang dibeli sebelah pagi tidak dimakan.

“Seperti biasa, saya akan beli makanan untuk ibu sebelum terus ke belakang rumah menguruskan ternakan kambing. Namun apabila saya masuk ke rumah pada waktu tengah hari, lihat makanan dibeli tidak terusik.

“Saya mulai bimbang dan harap mak akan pulang segera. Kebiasaannya sama ada orang kampung menghubungi saya untuk mengambil mak di mana-mana kawasan kampung atau mak akan dihantar pulang,” ujarnya.

Tambahnya, kali terakhir dia ternampak ibunya mengenakan baju kurung berwarna hijau dengan bunga kecil berwarna kuning di kawasan kampung pada pukul 5 petang, 5 Disember lalu.

Sehingga ke hari ini, katanya, penduduk dan pasukan penyelamat masih gagal menemui ibunya serta tiada sebarang petunjuk baharu.

“Malah, ada beberapa pasukan paranormal yang mengetahui kehilangan ini datang membantu, namun kesemuanya gagal menemui petunjuk. Mereka masuk mencari pada waktu malam dan hanya mencari berdasarkan pendengaran dan bau.

“Kami sudah mencuba pelbagai ikhtiar seperti setiap kali mencari ada penduduk yang melaungkan azan dan ada juga penduduk yang menyatakan mak di pelbagai lokasi mengikut firasat masing-masing, namun hampa.

“Sekiranya orang ramai ada ternampak ibu saya boleh menghubungi saya di talian 0182262069. Saya sangat bimbang sebab ibu ada sakit darah tinggi dan keluar sehelai sepinggang,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI