HULU SELANGOR – Dua eskevator milik Tentera Darat Diraja Malaysia (TDM) digerakkan ke lokasi tragedi tanah runtuh di Jalan Batang Kali – Genting Highlands petang ini, untuk membantu operasi mencari dan menyelamat (SAR) baki sembilan mangsa yang masih belum ditemui.
Jentera berat tersebut adalah jenis PC 210 LC- 10M milik 91 Rejimen Askar Jurutera Diraja (91 Rej Bantuan RAJD) Kem Batu Kentonmen, Kuala Lumpur.
Pada 31 Mei lalu, Majlis Penyerahan Kenderaan Jenis C (KJC) varian Tracked Excavator (Med) Komatsu baru saja diterima oleh 91 Rejimen Bantuan RAJD.
Penerimaan dua buah KJC varian tersebut adalah melalui Perolehan Rolling Plan 3 (RP 3) tahun 2021.
Penggunaan dua lagi jentera berat milik TDM itu adalah untuk mempercepatkan lagi operasi SAR terhadap sembilan lagi mangsa yang sehingga kini masih belum dikenal pasti.
Semalam, sebanyak lapan eskevator milik pelbagai agensi telah digunakan dalam operasi SAR, namun menemui jalan buntu apabila tiada mangsa yang berjaya ditemui.
Pencarian kini tertumpu di sektor A (hill view) dan sektor C (riverside) tapak perkhemahan terbabit yang dipercayai lokasi mangsa masih tertimbus.
Sehingga kini, mangsa maut kekal 24 orang daripada keseluruhan mangsa yang berjumlah 94 orang. – KOSMO! ONLINE