BAU – Seorang lelaki meninggal dunia akibat dirempuh kereta yang dipandu seorang wanita di kawasan lampu isyarat Jalan Bau – Lundu, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Bau Deputi Superintendan Poge Nyaon berkata Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Bau menerima laporan mengenai kejadian kira-kira jam 11.30 malam, dan segera menggerakkan anggota ke lokasi.
Katanya hasil siasatan awal, kejadian dipercayai berlaku apabila wanita berusia 26 tahun yang memandu Perodua Bezza terbabit melintasi lampu isyarat dan merasakan telah melanggar sesuatu.
“Pemandu kereta itu menghentikan kenderaan dan keluar untuk memeriksa keadaan, dan mendapati sebuah motosikal berada di hadapan keretanya manakala penunggang motosikal itu berada di bahu jalan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Poge berkata mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh paramedik dari Hospital Bau.
Manakala pemandu kereta terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan.
Katanya kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan masih dalam siasatan. – KOSMO! ONLINE