KEMAMAN – Kira-kira 30 buah rumah penduduk mengalami kerosakan akibat dibadai ribut di Kampung Paya Berenjut, Chukai di sini malam tadi.
Kejadian ribut berserta pusaran angin itu berlaku selama lima minit pada pukul 11 malam.
Salah seorang penduduk, Siti Aisyah Hasan@Hussin,32, berkata, dia bersama 10 ahli keluarganya sedang menonton siaran langsung perlawanan akhir bola sepak Piala Dunia sebelum hampir keseluruhan bumbung rumahnya tiba-tiba diterbangkan angin.
“Pada mulanya, kami ingatkan bunyi angin dari arah belakang rumah sebelum tiba-tiba habis semua bumbung rumah kami terbang dibawa angin.
“Beranda rumah saya juga runtuh sebab angin terlalu kuat. Saya bergegas menyelamatkan ibu dan anak-anak yang masih kecil,” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.
Siti Aisyah yang merupakan peniaga sate berkata, dia juga terpaksa membatalkan tempahan sate pelanggannya berikutan gerainya yang didirikan di tepi rumah turut rosak teruk.
Seorang lagi penduduk, Abdul Rahim Ibrahim, 28, berkata, hampir keseluruhan bumbung rumahnya juga tercabut diterbangkan angin.
“Sewaktu kejadian, saya baru hendak masuk tidur sebelu terdengar bunyi angin yang sangat kuat dan dengan sekelip mata, hampir semua bumbung saya dibawa angin,” “katanya. – KOSMO! ONLINE