fbpx

Banjir: Tiga beradik maut terkena renjatan elektrik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Jenazah ketiga-tiga mangsa dibawa ke Hospital Tumpat sebentar tadi untuk dibedah siasat.

TUMPAT – Tiga beradik maut selepas dipercayai terkena renjatan elektrik semasa salah seorang daripada mereka memegang tiang pada garaj di sebuah rumah jiran mereka di Kampung Morak di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12 tengah hari itu, Nurul Syazwani Nadzir, 33, yang merupakan seorang guru di sebuah tadika bersama dua adiknya Sakinah, 29, dan Norfatihah, 27, meninggal dunia di lokasi kejadian.

Jiran mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Nor, 50, berkata, kejadian itu disedari seorang penduduk kampung selepas melihat Nurul Syazwan memegang sebatang tiang sebelum jatuh ke dalam air banjir pada paras buku lali di hadapan rumah tersebut.

Menurutnya, menyedari kakak mereka jatuh, Sakinah dan Norfatihah terus bergegas membantunya sebelum dua beradik itu pula terkena renjatan elektrik.

“Saya bergegas meminta bantuan penduduk kampung sebelum menghubungi bomba dan penyelamat untuk menyelamat tiga beradik itu.

“Saya sempat bertegur sapa dengan ketiga-tiga beradik itu semasa mereka mengharung air banjir di hadapan rumah,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Menurut Nor, dia terkejut selepas melihat tiga beradik itu rebah ke dalam air selepas salah seorang daripadanya memegang tiang garaj berhampiran rumahnya.

Katanya, difahamkan, terdapat sambungan dawai yang pecah sekaligus menyebabkan ada aliran elektrik pada tiang garaj itu.

“Saya amat sedih melihat mayat mereka bergelimpangan di hadapan mata,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Tumpat, Marzuki Awang berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 12.12 tengah hari.

Katanya, sembilan anggota bergegas ke lokasi kejadian untuk membantu menyelamat mangsa.

“Kita melakukan kerja-kerja mengangkat mangsa selepas kakitangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) datang memotong bekalan elektrik di kawasan berkenaan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI