BESUT – Seorang lelaki terpaksa meminta pertolongan daripada orang ramai melalui media sosial Facebook untuk mengeluarkan jenazah neneknya yang terperangkap di dalam rumah yang ditenggelami banjir sejak semalam.
Nik Mohd. Faiz Mohd. Khalil, 30, berkata, neneknya, Che Gayah Mohamad, 82. meninggal dunia akibat sakit tua di Kampung Gaung, Jerteh di sini pada pukul 8 malam tadi.
“Sepatutnya proses pengebumian dibuat malam tadi namun ada beberapa dokumen yang tidak lengkap, jadi kami bercadang untuk mengebumikan jenazah nenek pagi ini.
“Bagaimanapun, banjir naik begitu cepat sejak pukul 3 pagi menyebabkan semua ahli keluarga tidak boleh keluar untuk meneruskan proses pengebumian,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Nik Mohd. Faiz berkata, dia terpaksa buat hebahan di Facebook bagi meminta tolong dari mana-mana pihak untuk mengeluarkan jenazah neneknya.
Tambahnya, hasil hebahan itu akhirnya sebuah bot berjaya masuk ke kawasan rumah mereka untuk membantu membawa jenazah warga emas tersebut ke Hospital Besut di sini.
“Alhamdulillah, rasa lega sangat kerana jenazah nenek dapat dibawa keluar menggunakan bot dan kami berharap jenazah dapat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Gaung secepat mungkin.
“Kami masih menunggu permit kebenaran untuk meneruskan proses pengebumian arwah nenek,” katanya. – KOSMO! ONLINE