fbpx

Taman Eko-Rimba, hutan simpan di Kedah ditutup sepanjang musim tengkujuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kawasan Taman Eko-Rimba Tupah turut ditutup sementara sepanjang musim tengkujuh ini.

ALOR SETAR – Jabatan Perhutanan Negeri Kedah (JPNK) menutup sementara semua Taman Eko-Rimba (TER), Hutan Taman Negeri (HTN) dan kawasan pendakian di Hutan Simpan Kekal (HSK) sepanjang musim tengkujuh ini.

Pengarah Perhutanan Negeri, Muhamad Abdullah berkata, penutupan itu dilaksanakan sehingga satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak bagi mengelak sebarang insiden tidak diingini.

Katanya, penutupan tersebut bermakna sebarang aktiviti termasuk pendakian gunung, kegiatan sukan lasak berkenderaan dan aktiviti riadah lain tidak dibenarkan.

“Penutupan sementara ini bagi mengelakkan sebarang kemalangan disebabkan kejadian bencana atau kemalangan seperti pokok tumbang, tanah runtuh, lemas, fenomena kepala air dan sebagainya.

“Langkah ini diambil bagi memastikan keselamatan semua pihak,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, TER dan HTN yang ditutup kesemuanya terletak di bawah pengurusan JPNK melibatkan TER Bukit Wang, Puncak Janing, Sungai Teroi, Lata Mengkuang, Sungai Rambai, Tupah, Bukit Hijau, Lata Bayu, Ulu Paip serta Taman Negeri Ulu Muda.

“Terdapat 15 kawasan yang ditutup sementara bagi sebarang aktiviti pendakian iaitu Gunung Jerai, Gunung Kemerlong, Bukit Perak, Bukit Enggang, Bukit Saiong dan Gunung Bintang.

“Kawasan lain ialah Bukit Besar Kulim, Bukit Batu Merah, Bukit Fakir Terbang, Bukit Air Terjun Lebai Husin, Bukit Kilim, Gunung Matchinchang, Bukit Selat Panchor, Gunung Raya melibatkan Tangga Helang Seribu dan Bukit Batu Licin berhampiran Pulau Tuba,” ujarnya.

Menurutnya, penutupan itu bagaimanapun tidak termasuk TER yang telah diswastakan kepada operator dilantik kerajaan negeri.

“Sebanyak 10 TER yang telah diswastakan antaranya Pasir Tengkorak, Telaga Tujuh, Air Terjun Temurun, Tasik Dayang Bunting dan Gua Cherita di Langkawi.

“TER lain yang diswastakan adalah Seri Perigi, Batu Hampar dan Titi Hayun di Yan, Perangin di Sik dan Sungai Sedim di Kulim,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI