fbpx

Rela cukur jambang, Sharnaaz hilang minat jadi romantik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SHARNAAZ AHMAD

PETALING JAYA – Pelakon Sharnaaz Ahmad tidak lagi berminat untuk melakonkan naskhah bergenre romantik kerana berasakan sudah tidak lagi sesuai membawakan watak sebegitu.

Namun, pelakon berusia 37 tahun itu tidak menolak untuk terlibat dalam naskhah percintaan jika memiliki jalan cerita yang berat dan mencabar.

“Saya masih dapat tawaran untuk berlakon dalam drama cinta. Tapi sebenarnya saya kurang berminat. Bukannya saya tidak mahu berlakon dalam drama bergenre romantik, cuma saya perlukan naskhah yang berat.

“Sekarang ini memang saya memilih. Kalau jalan ceritanya ringan, memaparkan kisah percintaan budak-budak, saya akan tolak,” ujarnya kepada Kosmo! Online.

Tambah bapa kepada seorang anak itu lagi, faktor wajahnya yang disifatkan sudah ‘keras’ juga menjadi antara faktor penolak untuk berlakon dalam drama romantik, sekali gus memberi peluang kepada muka-muka baharu untuk memikul tanggungjawab tersebut.

“Stesen televisyen berilah peluang pada muka-muka baharu. Ramai pelakon yang bagus hari ini. Penonton pun suka muka yang masih ‘lembut’.

“Macam saya muka pun dah ‘keras’. Kepada pelakon senior, janganlah terasa apabila pelakon-pelakon baharu lebih mendapat perhatian pihak stesen televisyen,” katanya.

Ketika disoal tentang kesediaannya untuk mencukur jambang suatu hari nanti demi memenuhi tuntutan watak, Sharnaaz atau nama lengkapnya Sharnaaz Ahmad Basir Ahmad memberitahu dia rela dan tidak kisah untuk ‘mengorbankan’ jambangnya demi kerja.

“Jambang ini tak ada isu pun. Saya tidak kisah kalau terpaksa cukur jambang ini demi memenuhi tuntutan watak.

“Cuma buat masa sekarang saya masih kekal dengan imej begini kerana masih memenuhi tuntutan watak,” katanya.

Menyentuh tentang isu lakonan, Sharnaaz baru-baru ini memberitahu dia enggan bergandingan dengan pelakon baharu yang tidak mempunyai bakat atau kurang berpengalaman kerana bimbang akan menjejaskan kualiti sesebuah naskhah.

Dalam pada itu, Sharnaaz menyeru agar golongan pengarah agar bijak dalam memilih gandingan pelakon lama dan baharu supaya kelancaran serta keserasian antara mereka tidak terganggu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI