fbpx

481 individu ingkar PKPP

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ismail Sabri

Oleh SUBKHI SUDARJI

PUTRAJAYA – Seramai 481 individu ditahan atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dengan tangkapan paling tinggi membabitkan kegagalan memakai pelitup muka sebanyak 208 tangkapan.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kesalahan lain yang dikesan adalah penjarakan fizikal (145), gagal menyediakan peralatan serta merekod butiran diri (82) dan membawa penumpang berlebihan dalam satu kenderaan (27).

Turut ditahan ialah 10 individu yang melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), tangkapan pendatang asing tanpa izin (dua) dan aktiviti pusat hiburan tanpa lesen (satu).

“Daripada jumlah itu, seramai 470 individu telah dikompaun dan 10 lagi direman.

“Task Force akan terus mempertingkatkan pemeriksaan serta mengambil tindakan ke atas pemilik premis dan orang awam yang tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) PKPP yang ditetapkan,” katanya pada sidang akhbar di Facebook Live Kementerian Pertahanan.

Ismail Sabri berkata, sejak pelaksanaan Ops Benteng mulai Mei lalui, seramai 7,712 pendatang tanpa izin (PATI), 775 tekong dan 316 penyeludup telah berjaya ditahan pihak berkuasa di seluruh negara.

“Selain itu, turut dirampas adalah sebanyak 809 buah bot, 730 kenderaan darat manakala 1,801 lain-lain jenayah rentas sempadan.

“Semalam, Ops Benteng telah berjaya menahan seramai 37 PATI, tiga tekong serta berjaya merampas enam kenderaan darat,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, seramai 49,056 individu pulang ke tanah air dari 24 Julai hingga 15 Oktober dan ditempatkan di 87 stesen kuarantin yang ditetapkan.

Daripada jumlah itu, seramai 9,223 individu menjalani proses kuarantin wajib manakala 381 lagi telah dihantar ke hospital.

Tambah beliau, sebanyak 24 operasi sanitasi meliputi lima zon merah, 11 zon kuning dan lima zon hijau membabitkan 10 negeri dan satu Wilayah Persekutuan dibuat Jabatan Bomba dan Penyelamat.

“Sebanyak enam operasi di Sabah, Kedah (lima), Pulau Pinang (empat), Terengganu (tiga) serta masing-masing satu di Melaka, Perlis, Sarawak, Pahang, Perak dan Wilayah Persekutuan Putrajaya,” katanya.-K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI