KUALA LUMPUR – Gelaran raja pecut Kejohanan Olahraga Grand Final Institusi Pengajian Tinggi (IPT) 2022 menjadi milik pelari Universiti Tenaga Nasional (Uniten), Muhammad Fakhrul Abdul Aziz.
Lebih manis, Fakhrul mencetak masa 10.795 saat (s), hanya 0.005s menerusi penentuan photo finish ke atas pelari pecut kebangsaan, Jonathan Nyepa yang mewakili Universiti Putra Malaysia (UPM).
Pingat gangsa acara yang berlangsung di Stadium Mini Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil itu menjadi milik seorang lagi atlet kebangsaan dari UPM, Muhammad Zulfiqar Ismail dengan masa 10.81s.
Mengulas lanjut, Fakhrul menjelaskan pengorbanannya untuk kembali ke trek olahraga selepas dua tahun meninggalkan lapangan itu disebabkan Covid-19 sememangnya berbaloi.
Ia sekali gus membakar semangatnya untuk cuba melayakkan diri dalam kategori A ke Sukan SEA 2023 di Phnom Penh, Kemboja pada Mei tahun depan.
“Permulaan tadi saya bermula agak lambat, namun saya bangkit perlahan lahan dan dapat dapat kejar mereka di meter terakhir untuk memenangi perlawanan menerusi photo finish.
“Alhamdulillah dan terima kasih kepada semua pihak yang sentiasa menyokong saya. Saya sangat gembira kerana berjaya lepas sasaran yang diletakkan,” katanya selepas tamat perlumbaan tersebut.
Gelaran ratu pecut pula menjadi milik atlet Universiti Malaysia Sabah (UMS), Nur Aishah Rofina Aling yang menewaskan pelari sensasi kebangsaan, Zaidatul Husniah Zulkifli mewakili UPM.
Aishah mencatatkan 12.01s mengatasi Husniah (12.07s) dan seorang lagi wakil UPM, Nor Sarah Adi di tempat ketiga dengan masa 12.27s.
“Saya tak sangka dapat raih emas sebab datang sini untuk buat rekod peribadi sahaja. Boleh katakan ini penamat terindah buat saya tahun ini,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE