KOTA BHARU – Jumlah mangsa banjir di Kelantan meningkat kepada 5,233 orang melibatkan 1,559 buah keluarga setakat pukul 8 malam tadi.
Pegawai Pengurusan Bencana dan Operasi, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kelantan, Kapten Mohd. Hanif Omar berkata, sebanyak 52 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di lapan daerah.
Menurutnya, Bachok dan Kota Bharu merupakan daerah terbaharu yang terjejas banjir selepas Pasir Mas, Tanah Merah, Jeli, Kuala Krai, Pasir Puteh dan Machang.
“Sebuah PPS dibuka di Bachok iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jelawat. Empat PPS di Kota Bharu pula dibuka di SMK Melor, SMK Salor, Sekolah Kebangsaan Tiong dan Angkatan Belia Islam Malaysia,” katanya ketika dihubungi Kosmo! sebentar tadi.
Mohd. Hanif memberitahu, paras air di Sungai Kelantan di Tangga Krai menunjukkankan bacaan amaran manakala di Tambatan Diraja, Kota Bharu masih berada pada paras normal.
Katanya, air Sungai Golok di Rantau Panjang Kuala Jambu dan Jenob ketika ini berada pada paras bahaya. – KOSMO! ONLINE