PETALING JAYA – Seekor anjing unit pengesan (K-9) yang turut terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa tanah runtuh di Batang Kali terpaksa direhatkan selepas kepenatan akibat kerja lebih masa.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Datuk Norazam Khamis berkata, anjing baka English springer spaniel yang diberi nama ‘Blake’ itu ‘kecundang’ setelah dua hari berturut-turut bekerja bertungkus lumus.
“Selepas dua hari bekerja lebih daripada masa yang ditetapkan, anjing pengesan itu kemungkinan perlukan rehat tetapi bukan cedera.
“Sebab itu, pada peringkat ini kita akan gerakkan secara bergilir-gilir bermula dengan tiga ekor dahulu, kemudian kita akan masukkan bakinya,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.
Norazam berkata, setakat ini terdapat 11 ekor anjing pengesan diletakkan dalam keadaan siap siaga di lokasi kejadian untuk membantu operasi dengan enam daripadanya milik JBPM, empat (Polis Diraja Malaysia) dan seekor (Angkatan Tentera Malaysia).
Katanya, pihaknya mungkin akan meminta penambahan anjing pengesan sekiranya perlu.
Terdahulu, setakat ini 24 mangsa disahkan terkorban, manakala 61 orang selamat dan sembilan masih hilang daripada keseluruhan 94 orang yang terlibat dalam tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Gohtong Jaya, di Jalan Genting-Batang Kali. – KOSMO! ONLINE