PUTRAJAYA – Pasukan Forensik dari Cawangan Kejuruteraan Cerun, Jabatan Kerja Raya (JKR) mengesahkan bahawa telah berlaku dua kegagalan cerun dalam sela masa 20 hingga 30 minit di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm di Jalan Batang Kali-Genting Highland, Jumaat lalu.
JKR menerusi satu kenyataan berkata, menerusi pemeriksaan di lokasi kejadian mendapati dimensi kegagalan cerun dianggarkan setinggi 70 meter (m), selebar 120m dan sepanjang 330m dengan anggaran isipadu tanah runtuhan 450,000 meter padu.
“Berlaku dua kegagalan cerun di lokasi yang sama dengan sela masa 20 minit hingga 30 minit di antara keduanya dan kegagalan cerun yang pertama berkemungkinan besar berlaku di kawasan perkhemahan.
“Kegagalan tersebut telah mengakibatkan kawasan di kaki cerun jalan raya menjadi lemah, mengakibatkan berlakunya runtuhan susulan yang lebih besar,”kata kenyataan itu hari ini.
Menurut JKR, aliran air bawah tanah yang aktif turut dikesan di lokasi cerun runtuh terutamanya dalam kawasan tapak perkhemahan.
“Hasil pemeriksaan visual pada lokasi jalan dan cerus di seksyen berkenaan bagaimanapun mendapati longkang jalan sedia ada dalam keadaan bersih dan kering serta tidak tersumbat yang menunjukkan bahawa tiada masalah pada sistem perparitan jalan.
“Bahu Jalan B66 Seksyen 13.0 dari arah Goh Tong Jaya ke Batang Kali telah jatuh serta rosak akibat runtuhan cerun dan turut kelihatan ‘tension cracks’ secara memanjang pada lorong kiri laluan menghala ke Batang Kali kesan daripada runtuhan cerun.
Tambah kenyataan itu, berdasarkan penemuan tersebut, adalah dijangka bahawa ketepuan tanah dan tekanan air liang tanah yang tinggi akibat pengumpulan air bawah tanah pada bahagian bawah cerun di kawasan perkhemahan telah melemahkan kaki cerun jalan B66.
“Bagi mengelakkan berlakunya runtuhan susulan, JKR telah melaksanakan kerja-kerja pencegahan pembaikan jangka pendek iaitu menutup segera permukaan cerun yang terdedah dengan menggunakan ‘tarpaulin sheet’, serta membuat pengalihan air saliran di permukaan dan longkang sedia ada.
“Pada masa sama, pemantauan pergerakan tanah di tapak lokasi berkenaan juga dilakukan dengan pemasangan ’tilt sensor’,” katanya.
Mengulas lanjut, JKR memaklumkan bahawa tindakan siasatan tanah secara terperinci dijangka akan dilaksanakan di tapak berkenaan sejurus operasi mencari dan menyelamat mangsa ditamatkan.
Setakat pukul 6 petang tadi, jumlah mangsa yang maut kekal seramai 24 orang dengan sembilan mangsa masih belum ditemui daripada keseluruhan 94 mangsa yang terlibat. – KOSMO! ONLINE