HULU SELANGOR – Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan mencemar duli meninjau operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm di sini.
Seri Paduka yang tiba sekitar pukul 4.15 petang tadi kemudiannya mendengar taklimat di Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) di Jalan Batang Kali-Genting Highlands selama kira-kira 45 minit.
Keberangkatan Seri Paduka hari ini diiringi Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani.
Setakat pukul 4 petang tadi, tiada mangsa tragedi runtuhan tanah disahkan ditemui pada hari ketiga operasi SAR, hari ini.
Perkembangan itu menyaksikan jumlah mangsa maut adalah seramai 24 orang daripada keseluruhan mangsa yang terlibat, 94 orang. -KOSMO! ONLINE