LONDON – Persatuan Bola Sepak (FA) England dilaporkan bersedia untuk melakukan apa sahaja untuk memastikan Gareth Southgate terus kekal mengemudi England terutama dalam persiapan ke Euro 2024.
Southgate sebelum ini dilaporkan bersedia untuk membuat pertimbangan melepaskan jawatannya sebagai ketua jurulatih The Three Lions selepas kegagalan pasukan itu di Piala Dunia Qatar.
Bagaimanapun, berdasarkan sumber rapat FA England, badan induk bola sepak itu akan terus memujuk Southgate untuk kekal dan mengemudi pasukan itu berdepan pusingan kelayakan Euro 2024 berdepan Itali pada Mac tahun hadapan.
Sebelum ini, FA England dilaporkan sudah bersedia sekiranya Southgate berhasrat untuk melepaskan jawatannya dan mencari pengganti baharu, tetapi laporan terbaharu bahawa jurulatih berusia 52 tahun itu masih memikirkan mengenai perkara itu menyebabkan peluang mereka masih ada untuk memujuknya.
Beberapa nama seperti Eddie Howe dan Graham Potter telah dikaitkan dengan jawatan berkenaan, namun kedua-dua mereka sukar untuk melepaskan tugas bersama kelab menyebabkan FA England tidak memiliki banyak pilihan untuk jurulatih warga England.
Sebelum ini terdapat beberapa cadangan lain termasuk Thomas Tuchel, Brandon Rodgers dan Mauricio Pochettino, tetapi ia mendapat tentangan ramai dan desakan yang mahukan individu berbanggsa Inggeris menggalas tugas itu.
Situasi itu menyebabkan FA England menerima cadangan supaya Sarina Wiegman yang merupakan ketua jurulatih skuad wanita England dinaikkan pangkat mengemudi pasukan lelaki biarpun beliau adalah dari Belanda, namun kejayaannya diambil kira.
Selain itu, dua lagi nama yang turut dikaitkan adalah bekas pengurus Aston Villa, Steven Gerrard yang belum mempunyai tugas serta Pengurus Everton, Frank Lampard untuk menjadi pengurus baharu England.
– AGENSI