DOHA – Croatia menutup kempen Piala Dunia 2022 dengan penuh rasa bangga apabila meraih tempat ketiga selepas menewaskan Maghribi 2-1 di Stadium Khalifa lewat malam kelmarin.
Ketua jurulatihnya, Zlatko Dalic percaya masa depan yang cerah terjamin buat barisan anak-anak buahnya meskipun mereka gagal mengulangi pencapaian tempat kedua sewaktu edisi 2018 di Rusia.
Dalic, 56, menegaskan, tiada apa yang perlu dibimbangkan walaupun Croatia tiada lagi nama-nama besar seperti kapten, Luka Modric, Ivan Perisic dan Dejan Lovren untuk edisi-edisi Piala Dunia seterusnya.
Pengendali yang berasal dari Bosnia & Herzegovina itu merasakan generasi muda Croatia mampu mengulangi pencapaian hebat dilakukan tonggak-tonggak veteran tersebut.
“Ini adalah Piala Dunia terakhir buat sesetengah pemain disebabkan faktor umur dan aspek lain. Namun, kami ada ramai lagi pemain muda seperti (Mislav) Orsic, (Josip) Sutalo, (Josip) Stanisic dan (Josko) Gvardiol.
“Croatia adalah sebuah ‘sekolah’ bola sepak yang hebat untuk masa depan. Jadi, tiada apa yang perlu ditakutkan berkenaan dengan pasukan kebangsaan.
“Ini bukan pengakhiran era bola sepak Croatia. Kami masih ada (separuh akhir) Liga Negara-Negara Eropah dan kelayakan Euro 2024 selain bakat-bakat hebat dalam pasukan,” kata Dalic.
Dalam aksi penentuan tempat ketiga dan keempat lewat malam kelmarin, Croatia membuka tirai jaringan seawal minit ketujuh menerusi tandukan Gvardiol yang kini ‘dihujani’ pelbagai tawaran daripada gergasi Eropah.
Maghribi bangkit menyamakan kedudukan berselang dua minit kemudian selepas Achraf Dari yang tidak dikawal, berjaya menanduk masuk menewaskan penjaga gol Croatia, Dominik Livakovic.
Kemenangan menjadi milik Croatia selepas Orsic menjaringkan gol menerusi percubaan melencong daripada sudut sukar menewaskan penjaga gawang Maghribi, Yassine Bounou pada minit ke-42. – AGENSI