fbpx

Merungut gaji kecil, tapi tiket konsert mampu beli

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NURUL IZZATI ZAINI

TABIAT anak muda berbelanja melebihi kemampuan amat membimbangkan kerana berpotensi menjadi bankrup pada usia muda.

Malah, tindakan segelintir daripada mereka yang sanggup berhutang semata-mata untuk menayangkan kehidupan mewah di media sosial adalah satu yang merungsingkan.

Sebelum ini Kosmo! melapor­kan seramai 1,610 belia muflis bagi tempoh enam bulan sehingga Jun 2022 dan jumlah keseluruhan belia muflis adalah 10,137 orang.

Bagaimanapun, angka berke­naan bagaikan tiada makna apabila tiket konsert kumpulan Korea wanita, Blackpink, habis dijual dalam masa 30 minit walaupun harga tiket VIP mencecah hampir RM2,000.

Majoriti peminat Blackpink pula terdiri daripada golongan anak muda, kerana rata-rata mereka berkongsikan kejayaan mendapatkan tiket tersebut di media sosial.

Bukan konsert itu sahaja, kebanyakan tiket konsert yang diadakan artis dari dalam atau luar negara hampir setiap minggu, turut habis dijual dan rata-rata pembeli adalah golongan belia.

Hakikatnya, trend anak muda berbelanja untuk makanan, ­fesyen atau percutian mewah turut
merunsingkan.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh sebelum ini mendedahkan belia berusia 22 tahun paling ramai bankrap ketika pandemik.

“Kalau usia 22 sudah bankrap, bagaimana mereka akan berkahwin, membeli rumah seterusnya memberikan jaminan kepada anak-anak? jelas Hannah

Ternyata ia satu masalah serius dan perlu ditangani semua pihak secara bersepadu.
Perunding kewangan, Afyan Mat Rawi berkata, golongan belia mudah terpengaruh sehingga berbelanja melebihi kemampuan mereka dan trend tersebut sangat bahaya.

“Ramai anak muda merungut barang mahal, gaji minimum, ekonomi susah, tetapi tiket lambakan konsert di Malaysia habis pula dijual, maknanya ia bercanggah dengan semua rungutan mereka itu.

“Lebih-lebih lagi, mudah sekarang untuk mendapatkan kad kredit, kaedah beli dahulu bayar kemudian di aplikasi-aplikasi beli dalam talian. Jadi, anak muda ini akan berbelanja tanpa fikir implikasi akan datang,” katanya ketika dihubungi Kosmo!.

Tambahnya, menurut kajian Pantauan Ekonomi Malaysia yang dikeluarkan Bank Dunia pada Disember 2019 menyatakan 60 peratus orang muflis adalah anak muda dengan punca utama adalah pinjaman peribadi dan hutang kereta.

Sementara itu, Afyan turut menyeru kerajaan supaya memberi pendidikan kewangan kepada anak muda sejak sekolah rendah bagi mengurangkan jumlah bankrupsi dalam kalangan mereka.

Katanya, kebanyakan anak muda kini ‘buta’ pendidikan kewangan menyebabkan mereka tidak bijak membelanjakan duit dan mencari jalan untuk tingkatkan ekonomi masing-masing.

“Memberi bantuan kepada anak muda yang muflis hanyalah untuk penyelesaian jangka masa pendek sahaja, namun untuk jangka masa panjang, kerajaan boleh memberikan pendidikan kewangan untuk mereka.

“Sebolehnya pendidikan kewangan ini perlu diterapkan pada anak-anak sejak mereka kecil lagi, kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Ajar anak-anak berjimat-cermat dan menabung, nanti lama-lama mereka akan terbiasa.

“Di peringkat institusi pengajian tinggi (IPT), pendidikan kewangan ini sangat penting sebelum mereka pegang gaji sendiri. Apabila mereka tamat belajar, mereka boleh praktikkan dengan menguruskan kewangan dengan bijak,” katanya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI