fbpx

Alvin Chong bongkar emosi lara dalam lagu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ALVIN CHONG

TIDAK berselindung pernah melalui emosi pasang surut ketika fasa pandemik, Alvin Chong merakamkan pengalaman sukar dilaluinya menerusi garapan lagu.

Untaian jiwa berjudul One And Only sebagai peringatan kepada diri supaya jangan mudah menyerah kalah terhadap situasi sekeliling mahupun mainan perasaan sendiri.

Menurut Alvin, karya tersebut umpama membongkar gelodak lara yang pernah dilalui yang selama ini hanya disimpan sendiri, kemas dalam kanvas hati.

“Setiap kali keluar dari kereta saya rasa seperti ada beban, tekanan dan tanggungjawab yang perlu saya laksanakan sebagai seorang anak, artis, abang serta kawan.

“Saya rasa kereta adalah satu-satunya tempat yang saya anggap zon selamat dan selesa buat diri sendiri.

PANDEMIK mengganggu emosi Alvin apabila dia berdepan masalah sukar tidur yang mencetuskan tekanan.

“Umpama berperang dengan emosi sendiri, fasa mencabar ketika musim pandemik membuatkan saya turut mengalami kesukaran untuk tidur.

“Segala perasaan yang bercampur baur, banyak berfikir benda tidak perlu dan kurang tidur mencetuskan tekanan.

“Apabila mengenang kembali pengalaman tersebut, saya terfikir untuk meluahkannya menerusi lagu. Maka terhasillah One and Only,” katanya.

Kematangan

Lagu tersebut ditulis bersama komposer terkenal MFMF.

“Sungguhpun lagu ini bernuansa sedih dan sendu, saya enggan membiarkannya kedengaran sebagai bingkisan balada yang suram.

“Lagu ini perlu rancak biarpun liriknya agak bertentangan dengan melodi dan MFMF bersetuju dengan idea berkenaan apabila berjaya memberikan apa yang saya mahu,” ujarnya.

Sebagai pelengkap, video muzik lagu tersebut dirakamkan di sebuah lokasi di Klang, Selangor.

LAGU One and Only merupakan kerjasama Alvin dengan MFMF.

“Video muzik lagu ini mengambil masa dua hari untuk disempurnakan, tetapi dua minggu kemudian kami menambah satu lagi babak bersama kugiran yang memainkan muzik iringan.

“Memakai persalinan tebal secara berlapis ketika cuaca panas terik antara cabaran utama dalam merealisasikan video ini.

“Malah, masa banyak diperuntukkan dengan menunggu jalan kosong tanpa kenderaan bagi mendapat tangkapan terbaik,” tambahnya.

Penyanyi berusia 31 tahun itu berharap One and Only mampu membawa mesej kepada pendengar yang pernah melalui emosi sama supaya kembali positif dalam menempuh kehidupan.

“Jangan mudah berputus harap kerana semua ini adalah proses ke arah kematangan dalam membuat penilaian terhadap diri serta insan sekeliling.

“Kita kena percaya setiap masalah mempunyai penyelesaian, cuma jangan pendam perasaan. Pada masa sama, jangan segan bertemu pakar andai merasakan itu tindakan perlu,” katanya.

Bintang drama Suri Hati Mr. Pilot itu setakat ini sudah menghasilkan beberapa single solo selain seleksi dendangan duet yang meraih perhatian ramai.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI