fbpx

Remaja maut motosikal rempuh treler rosak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan motosikal yang dibonceng mangsa maut, Nur Irfan Syahril Abdullah dalam kemalangan di KM 91.2 Lebuh Raya Utara-Selatan di Gurun, semalam.

SUNGAI PETANI – Seorang remaja lelaki maut selepas motosikal diboncengnya merempuh belakang sebuah treler rosak yang berhenti di lorong kecemasan di Kilometer 91.2 Lebuh Raya Utara-Selatan di Gurun, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9.48 malam itu, mangsa, Nur Irfan Syahril Abdullah, 15, dari Taman Mutiara Naga, Kepala Batas, meninggal dunia di lokasi kejadian.

Sementara penunggang motosikal jenis Honda Vario, Mohd. Zaid Izzuddin Mohd. Rizal, 18, dari Jalan Istana Tanjung Kapor, Jitra, dekat sini, mengalami kecederaan parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, berdasarkan siasatan awal, kemalangan berlaku apabila motosikal dari arah Alor Setar menghala Butterworth, Pulau Pinang, melanggar belakang treler.

Katanya, kenderaan berat tersebut berada di lorong kecemasan dipercayai mengalami kerosakan.

“Impak perlanggaran yang kuat menyebabkan pembonceng motosikal maut serta-merta di lokasi kejadian.

“Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), di sini, untuk bedah siasat,” katanya di sini, hari ini.

Kata beliau, penunggang motosikal yang mengalami kecederaan parah menerima rawatan lanjut di Zon Merah HSAH.

Tambahnya, hasil siasatan awal mendapati mangsa menunggang motosikal di lorong kecemasan dan pemandu treler telah meletakkan kon.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI