BANGKOK – Monarki Thailand, Raja Maha Vajiralongkorn dan Permaisuri Suthida Bajrasudhabimalalakshana disahkan positif Covid-19, lapor laman berita Thaiger.
Pengumuman itu dibuat oleh Biro Keluarga Diraja Thailand semalam, demikian menurut laman berita Prachachat.
Kenyataan itu dikeluarkan selepas raja dan permaisuri menjalani ujian saringan Covid-19 kelmarin.
Ia adalah perkara biasa bagi pasangan diraja itu untuk menjalani saringan Covid-19 secara berkala oleh Fakulti Perubatan Diraja. Keluarga Diraja itu menjalani ujian Covid-19 pada pukul 11.30 malam (waktu tempatan) kelmarin.
Apabila keputusan ujian Covid dikeluarkan, raja dan permaisuri disahkan positif.
Biro Keluarga Diraja melaporkan bahawa pasangan diraja itu mengalami gejala yang sangat sedikit dan langsung tidak teruk.
Bagaimanapun, baginda telah dinasihatkan untuk tidak mengambil bahagian dalam mana-mana tugas diraja buat sementara waktu sehingga pulih. Ia supaya virus Covid-19 tidak menjangkiti orang lain.
Kelmarin, baginda adalah antara beberapa ahli kerabat diraja yang melawat Puteri Bajrakitiyabha Narendira Debyavati yang dimasukkan ke hospital selepas pengsan ketika melatih anjingnya, akibat sakit jantung.
Tidak diumumkan sama ada ahli keluarga diraja, kakitangan perubatan atau orang lain di sekitar hospital berkenaan telah menjalani ujian saringan ataupun terdapat mereka yang positif Covid-19 susulan lawatan raja dan permaisuri Thailand tersebut. – Agensi