PASIR MAS – Jumlah mangsa banjir di daerah ini semakin menurun dengan catatan seramai 1,584 orang daripada 490 buah keluarga, meskipun hujan lebat melanda kebanyakan kawasan di Kelantan sejak semalam.
Pegawai Pengurusan Bencana dan Operasi, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kelantan, Kapten Mohd. Hanif Omar berkata, jumlah itu menunjukkan penurunan berbanding semalam iaitu seramai 1,650 orang mangsa.
Selain itu katanya, sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) di Rantau Panjang iaitu Sekolah Kebangsaan Sri Kiambang, ditutup sepenuhnya, hari ini.
“Penutupan PPS itu menjadikan enam buah PPS masih di buka di daerah ini. Keadaan banjir semasa di Pasir Mas adalah terkawal.
“Cuaca semasa kebanyakan daerah ketika ini hujan kecuali Tumpat yang masih mendung,” katanya ketika dihubungi Kosmo!, hari ini.
Menurut Mohd. Hanif, kebanyakan sungai-sungai utama di Kelantan menunjukkan trend menaik, namun masih berada pada paras normal.
Katanya, bagaimanapun, Sungai Golok di Kampung Jenob di sini berada pada paras bahaya.
“Sungai Pergau, Kuala Balah di Jeli, Sungai Lanas Air Lanas (Jeli), Sungai Golok (Rantau Panjang) dan Sungai Golok (Kuala Jambu) ketika ini menunjukkan paras amaran,” katanya. – KOSMO! ONLINE