fbpx

Bekalan minyak masak bersubsidi masih terkawal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Salahuddin menyampaikan bantuan sumbangan kepada mangsa ribut yang berlaku di Kampung Pasir, Johor Bahru, baru-baru ini.

JOHOR BAHRU – Isu rantaian bekalan minyak masak bersubsidi menjadikan barangan itu tidak mencukupi di pasaran bahkan tidak sampai kepada kumpulan sasar iaitu golongan B40.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, pembekalan minyak masak polibeg satu kilogram itu yang disediakan sebanyak 60,000 tan metrik sebulan sepatutnya mencukupi bagi memenuhi keperluan nasional.

Bagaimanapun, katanya, tinjauan yang dilakukan mendapati isu bekalan minyak masak bersubsidi ini masih lagi belum lancar sepenuhnya tetapi masih dalam keadaan terkawal.

Sehubungan itu, katanya, pentingnya Operasi Terjah ini digerakkan bagi mengenal pasti punca masalah dan bertindak segera kepada pembekal atau pemborong dan menguatkuasakan undang-undang sekiranya berlaku penyalahgunaan kuasa atau penyelewengan.

“Kita telah mengarahkan 2,200 penguat kuasa di seluruh negara untuk menjalankan operasi ini yang objektifnya adalah untuk memastikan bekalan di pasaran stabil dan harga ditentukan tidak melanggari yang ditetapkan setelah berbincang dengan pemain industri.

“Kementerian akan memastikan bekalan ini ada pada semua peringkat premis perniagaan daripada pasar raya besar hinggalah ke peringkat kedai runcit di pedalaman.

“Ini bagi memastikan minyak masak bersubsidi ini ada di pasaran dan dijual kepada golongan sasar, sekiranya ada gangguan daripada segi rantaian bekalan maka pegawai akan mengambil tindakan dengan menghubungi pembekal atau pemborong mengenai kouta bekalan yang diterima,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Sumbangan Bersama Mangsa Ribut Parlimen Pulai dan DUN Perling di Balai Raya Kampung Pasir, di sini hari ini.

Operasi Terjah ini yang berlangsung selama satu bulan sehingga 16 Januari ini juga bertujuan mengenal pasti punca barangan keperluan itu tidak sampai kepada peringkat kedai runcit selain mencari memperbetulkan situasi ini.

Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Pulai berkata, OPS terjah ini juga akan memastikan pintu sempadan negara khususnya di kawasan Utara serta di Sabah dan Sarawak dikawal supaya barang subsidi ini dapat dikawal daripada salah guna dalam mereka mengaut keuntungan.

“Apabila adanya barang subsidi ianya membuka pintu kepada penyelewengan, ada sindiket yang membeli minyak ini secara banyak dan membungkus semula di dalam botol sebelum dijual semula dalam negeri atau luar negara.

“Biarlah Ops Terjah ini di bawah kerajaan baharu beroperasi dan beri kami peluang untuk fokus menyelesaikan isu ini, sebarang dapatan kita akan laporkan kepada rakan media,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI