DUNGUN – Hasrat seorang warga emas untuk berjumpa anak dan cucunya yang pulang bercuti tidak kesampaian apabila dia maut dalam nahas di Jalan Kampung Telaga Mas, Paka di sini kelmarin.
Dalam kejadian pukul 6.40 petang itu, mangsa, Mohd. Daud Kaling, 62, meninggal dunia selepas motosikalnya terbabas dan melanggar pokok ketika dalam perjalanan pulang ke rumah di Kampung Limbong, Paka di sini.
Anak sulungnya, Nuradila, 36, berkata, dia, suami dan lima anak yang menetap di Johor tiba di rumah bapanya pukul 6 petang, namun hanya ibunya, Rohaya Mamat, 56 berada di rumah.
“Saya beritahu ayah kami akan pulang ke kampung dan dia begitu teruja untuk berjumpa dengan cucu-cucunya.
“Sewaktu sampai, ayah keluar kerana menjadi rutinnya selepas solat Asar di masjid,” katanya ketika ditemui semalam.
Sementara itu, Rohaya berkata, mereka mengetahui kejadian nahas itu pukul 7.10 malam.
Menurut Rohaya, biasanya suaminya pulang ke rumah sebelum maghrib untuk bersiap-siap ke masjid, namun lelaki itu tidak berbuat demikian kelmarin.
“Ada penduduk beritahu suami terjatuh motosikal, saya terkejut suami sudah tidak bernyawa (di lokasi),” katanya.
Rohaya berkata, suaminya tidak menunjukkan sebarang perubahan sebelum ‘pergi’.
“Saya reda dengan pemergiannya dan akan rindukan telatahnya yang kerap mengusik saya dan ahli keluarga sebab dia seorang yang mesra,” katanya.
Jenazah Mohd. Daud dikebumikan pukul 11.20 pagi di Tanah Perkuburan Islam Kampung Limbong, Paka semalam.