Gadis kelahiran Sabah ini tidak menyangka dirinya kini menjadi perhatian di media sosial gara-gara tindakannya mendendangkan serangkap lagu sebelum mengakhiri ucapan pada Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Sabah (UMS) ke-24 baru-baru ini.
Kristy Samunting, 23, atau lebih dikenali Kristy Sam menyifatkan pujian ‘suara telan kaset’ yang digelar netizen sesuatu yang lucu kerana dia tidak pernah mendapat gelaran itu walaupun memiliki minat mendalam terhadap nyanyian sejak kecil.
Kepada Kosmo! Ahad, gadis yang ‘lincah’ bermain gitar dan piano ini bercerita lanjut mengenai dirinya.
KOSMO! AHAD: Boleh ceritakan latar belakang Kristy?
Kristy: Saya berasal dari Kepayan, Kota Kinabalu dan baru tamat pengajian dalam bidang Program Seni Muzik, Akademi Seni dan Teknologi Kreatif (ASTiF) di UMS di peringkat ijazah sarjana muda.
Mengapa pilih menyanyi dan bukan pantun di atas pentas konvokesyen?
Saya diberi peluang untuk berucap kerana salah seorang penerima Anugerah Pelajaran Diraja, saya mendapat kelas pertama. Saya mengambil keputusan untuk menyanyi kerana ingin memberi penghormatan buat ASTiF dan program muzik selain mengambil peluang untuk menyanyi buat kali terakhir sebagai pelajar UMS.
Apakah perbezaan sebelum dan selepas video nyanyian di atas pentas tular?
Sebelum ini, saya sering memuat naik video dan lagu ‘cover’ di media sosial, tetapi selepas video nyanyian ketika majlis konvokesyen itu tular, tontonan semakin meningkat.
Adakah Kristy memang menyanyi sebelum ini?
Ya. Saya mula menyanyi sejak kecil lagi. Keluarga tahu saya minat dalam bidang ini kerana setiap kali muzik dimainkan, saya akan mula menyanyi. Pernah sekali, guru sekolah rendah mengadu kepada ibu kerana saya selalu menyanyi dalam kelas sambil membuat kerja.
Apakah hobi di masa lapang?
Sudah semestinya menyanyi karaoke. Selain itu, saya gemar menonton video lawatan rumah di YouTube kerana saya pernah memasang impian hendak menjadi arkitek atau pereka dalaman.
Adakah cita-cita ingin menjadi penyanyi?
Sejak kecil, saya berangan-angan hendak jadi penyanyi, tetapi pada masa sama, saya ingin jadi arkitek. Saya mahu melanjutkan pengajian dan menjadi pensyarah muzik.
Apakah pencapaian terbaik dalam bidang nyanyian?
Pada 2017, saya mendapat top four dalam pertandingan menyanyi di Indonesia iaitu Starvoices Asia bersama-sama peserta lain seperti Ziva Magnolia, Tama Cage dan ramai lagi. Selain itu, saya mewakili UMS dan Malaysia ke World Championship of Performing Arts di Amerika Syarikat pada Julai lalu.
Apakah rahsia kecemerlangan Kristy?
Pengurusan masa dan kerja secara bijak. Perasaan ingin tahu yang membuak-buak dalam diri telah menyebabkan saya tidak mudah berputus asa untuk belajar lebih lagi.