DOHA – Bintang sensasi Perancis, Kylian Mbappe berpotensi merekodkan dua sejarah baharu buat dirinya jika berjaya menjulang trofi Piala Dunia 2022 menjelang aksi final menentang Argentina di Stadium Lusail malam ini.
Penyerang prolifik Paris Saint-Germain (PSG) itu perlu meledak lebih banyak gol daripada kapten Argentina, Lionel Messi yang masing-masing terikat lima jaringan untuk memastikan Kasut Emas menjadi miliknya.
Jika berjaya, ia pastinya mampu mengubati kekecewaan Mbappe selepas kempunan untuk meraih anugerah tersebut yang dimenangi Harry Kane sewaktu edisi 2018 di Russia biarpun Perancis menjuarainya ketika itu.
Bukan itu sahaja, Mbappe juga akan menjadi pemain kedua termuda dalam sejarah Piala Dunia untuk memenangi dua edisi berturut-turut selepas legenda Brazil, Pele melakukannya pada usia 21 tahun.
Dua pencapaian peribadi itu beserta trofi Piala Dunia pastinya akan menjadi hadiah hari lahir terbaik buat Mbappe yang akan genap usia 24 tahun pada 20 Disember ini.
Bagaimanapun, Mbappe lebih berminat memberikan fokus sepenuhnya membantu Les Bleus mempertahankan trofi keramat itu daripada mengejar kejayaan individu.
“Saya cuma ada satu objektif iaitu menjuarai Piala Dunia bersama Perancis. Walaupun saya pernah memenanginya, tetapi impian ini tidak pernah padam.
“Saya tidak datang ke sini untuk memenangi Bola Emas atau anugerah-anugerah lain. Saya obses dengan Piala Dunia dan saya mahu memenanginya sebanyak yang mungkin,” katanya.
Mbappe pastinya mahu mengulangi rekod hebatnya seperti meledak dua gol dalam kemenangan 4-3 ke atas sewaktu pusingan 16 terbaik Piala Dunia 2018.
Dua lagi gol Les Bleus ketika itu dijaringkan Antoine Griezmann dan Benjamin Pavard yang terlepas edisi kali ini disebabkan masalah kecederaan.
Itu adalah kemenangan pertama Perancis dalam empat rekod pertemuan dengan Argentina yang memenangi tiga lagi perlawanan sebelum ini sejak kali pertama bertemu pada Piala Dunia 1978. – AGENSI